SELAYANG - Penduduk Pangsapuri Taman Selayang Makmur mendesak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menutup operasi sebuah pusat penyembelihan ayam secara haram yang terletak di belakang taman perumahan itu yang wujud sejak lebih 20 tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Taman Selayang Makmur, Roger Arvind, 46, berkata, pusat penyembelihan ayam secara haram itu tidak menyediakan instalasi pengolahan air limbah atau 'waste water treatment plant' menyebabkan air bertakung dan berbau busuk.
Arvind turut mendakwa, kira-kira 80,000 ekor ayam disembelih secara haram dan tidak mematuhi piawaian halal di sekitar Pasar Borong Harian Selayang.
"Tempat sembelih ayam itu tidak konsisten, tidak terurus malah sisa-sisa ayam berterabur sehingga mengundang tikus dan lalat-lalat. Sebelum ini sudah banyak kali surat bantahan dikemukakan kepada MPS. Apabila serbuan dilakukan, mereka hanya tutup operasi selama dua minggu sebelum beroperasi semula.
"Kali ini kita mahukan pusat penyembelihan haram itu ditutup sepenuhnya di samping menyokong pelaksanaan segera projek pembinaan pusat penyembelihan ayam bersepadu di tapak yang diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seluas 1.2 hektar,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Beliau berkata, kewujudan pusat sembelihan ayam bersepadu itu bukan sahaja dapat memberikan kemudahan kepada aktiviti sembelih ayam tetapi juga dapat dikawal daripada segi kebersihan kerana sistem loji rawatan air moden dan sisa buangan pepejal turut disediakan.
Pusat penyembelihan itu juga bakal menyediakan 800 lot untuk pembekal dan peniaga ayam serta lebih 1,000 petak letak kereta untuk pelanggan Pasar Borong Harian Selayang.
Sementara itu, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia (G3PM) turut menyokong projek pembinaan pusat penyembelihan ayam halal bersepadu di Pasar Borong Harian Selayang kerana bersesuaian dengan kehendak semasa peniaga dan pelanggan di sekitarnya.
Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, projek itu bakal memberi impak positif kepada warga kota dengan kapasiti pembekalan 80,000 hingga 120,000 ekor ayam bersih dan halal kepada pengguna setiap hari.
"Selain itu, setiap pemprosesan dan penyembelihan ayam bakal dipantau oleh Jakim (Jabatan Agama Islam Malaysia), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Kementerian Kesihatan menerusi pusat itu.
"Projek itu merupakan keputusan komprehensif kepada peniaga ayam menyediakan stok jualan mereka mengikut piawaian tinggi, bersih dan halal serta patuh syarak halalan-toyyiban buat pengguna,” katanya.