MIGRAN tanpa dokumen sah boleh menjadi perjalanan sangat berbahaya.
Sejak lima tahun lalu, kira-kira 19,000 dilaporkan terkorban ketika cuba untuk memasuki Eropah dan hampir kesemua mangsa maut ketika cuba merentasi Laut Mediterranean.
Menurut laporan Projek Migran Hilang dijalankan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), kebanyakan punca kematian golongan itu di rantau Eropah pada 2019 disebabkan oleh lemas di laut dan kemalangan.
Tragedi terbaru melibatkan kematian 39 rakyat Vietnam dalam kontena di kawasan perindustrian di Essex berhampiran London pada 23 Oktober lalu mendapat perhatian masyarakat antarabangsa.
Sehingga kini, pihak berkuasa masih menyiasat punca kematian mereka dan beberapa individu termasuk pemandu trak, Maurice Robinson telah berdepan tuduhan membunuh.
Sukar membayangkan detik terakhir kesemua mangsa tersebut yang menyimpan harapan tinggi untuk tiba ke destinasi yang diimpikan mereka.
Sehingga tahun 2007, kira-kira 20,000 rakyat Vietnam tanpa dokumen sah menetap di England dan Wales.
Di UK, kebanyakan migran Vietnam bekerja di salon penghias kuku, menanam ganja atau terjebak dalam industri seks sama seperti di negara Eropah lain.
Migran Vietnam yang paling terdedah adalah golongan lelaki walaupun media memberi perhatian terhadap nasib wanita dan kanak-kanak perempuan yang terpaksa menjadi pekerja seks.
Mangsa mudah terpedaya
Antara 2009 dan 2018, Mekanisme Rujukan Kebangsaan UK mengenal pasti 3,187 rakyat Vietnam sebagai mangsa berpotensi sindiket pemerdagangan manusia.
Salah satu sebab data tidak menentu adalah kerana sukar untuk membezakan antara pemerdagangan manusia dan diseludup masuk secara haram.
Namun sebuah badan antipemerdagangan manusia, Stop the Traffik menjelaskan tiga perbezaan penting antara kedua-dua elemen itu iaitu lokasi (pemerdagangan manusia boleh dilakukan dalam negara), persetujuan mangsa dan eksploitasi (mangsa diugut, dipaksa atau terpedaya).
Perjalanan jauh antara Vietnam ke UK biasanya boleh melibatkan kedua-dua elemen terutamanya jika mangsa mudah terpedaya dengan janji palsu kumpulan sindiket terbabit.
Laporan Precarious Journeys: Mapping Vulnerabilities of Victims of Trafficking from Vietnam to Europe mendapati pihak berkuasa sering menganggap migran tersebut sebagai bukan mangsa pemerdagangan manusia.
Situasi itu menyebabkan golongan itu termasuk kanak-kanak dianggap sebagai penjenayah dan kebanyakan mangsa yang ditangkap atas jenayah yang terpaksa mereka lakukan.
Migran tanpa dokumen sah yang berharap untuk memasuki UK dari Vietnam biasanya menuju ke Rusia dengan ‘pasport kitar semula’.
Mereka melakukan perjalanan ke seluruh Eropah dengan berjalan kaki, menaiki kereta atau trak atau pesawat.
Segelintir daripadanya terbang ke Eropah melalui Amerika Selatan manakala perjalanan biasa merentasi Rusia, Latvia, Lithuania, Poland, Jerman dan Perancis di mana migran akan bersembunyi dalam trak diparkir berhampiran pelabuhan atau mereka membayar untuk pengangkutan seperti itu.
Isu kompleks tersebut menyebabkan pihak berkuasa di negara transit sering lepas tangan dan meletakkan masalah itu kepada negara destinasi seperti UK.
Golongan itu tidak akan terus tiba ke negara destinasi.
Ada migran Vietnam yang terpaksa bekerja di negara transit bagi membayar hutang atau mengumpulkan wang untuk ke destinasi seterusnya.
Keadaan itu menyebabkan golongan itu terdedah menjadi mangsa eksploitasi secara berterusan sehingga mereka tiba di UK.
Kos tidak masuk akal
Bayaran yang dikenakan kepada golongan itu adalah sangat tinggi antara AS$10,000 (RM41,788) dan AS$50,000 (RM208,940) untuk perjalanan ke UK.
Kos tidak masuk akal seperti itu menyebabkan kebanyakan migran dan keluarga mereka terpaksa menanggung beban hutang untuk membayar kepada sindiket pemerdagangan manusia.
Laporan Precarious Journeys: Mapping Vulnerabilities of Victims of Trafficking from Vietnam to Europe mendakwa kebanyakan mereka terpedaya dengan bayaran gaji sehingga 1,500 Pound (RM8,082) sebulan.
Pendapatan sebanyak itu menyebabkan golongan itu percaya dengan hanya bekerja selama dua tahun di UK dapat membayar kos hutang perjalanan mereka ke negara terbabit.
Tetapi, mereka tidak sedar mangsa sindiket pemerdagangan manusia biasanya tidak akan menerima sebarang bayaran.
Le Minh Tuan, bapa kepada Le Van Ha, 30, dipercayai salah seorang daripada 39 mangsa yang ditemukan mati dalam trak di timur London pada bulan lalu mendakwa anaknya meninggalkan bebanan hutang kepadanya kerana mahu ke UK.
"Saya tidak tahu bila saya boleh bayar balik kesemuanya. Saya sudah tua dan tahap kesihatan saya juga semakin merosot. Saya juga terpaksa menjaga anak-anaknya,” katanya dalam nada sedih.
Jika tiada langkah segera diambil negara antarabangsa untuk menangani isu migran tersebut, tragedi di Essex dijangka berulang dan akan terus menjejaskan generasi akan datang. - Agensi