Mahkamah Koroner benarkan penangguhan prosiding komital

Iklan
Hanif Khatri (tengah) ketika ditemui di luar mahkamah.

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Mahkamah Koroner hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menangguhkan prosiding komital sehingga dua rayuan terhadap keputusan mahkamah untuk membenarkan prosiding berkenaan dijalankan, dilupuskan di Mahkamah Tinggi.

Rayuan itu berkaitan punca kematian anggota bomba Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Iklan
Iklan

Koroner Rofiah Mohamad, membuat keputusan itu pagi ini selepas mendengar permohonan, afidavit dan hujahan berkenaan.

Rofiah berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat konkrit berhubung rayuan Peguam Negara yang dianggap oleh Mahkamah Tinggi sebagai rayuan jenayah.

Iklan

Beliau menganggap prosiding yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi sangat substantif kerana jika mahkamah lebih tinggi itu membenarkan rayuan berkenaan ia akan memusnahkan asas kepada permohonan komital.

"Jika ditangguhkan permohonan komital ini, situasi memalukan dapat dielakkan kerana keputusan rayuan itu sudah ditetapkan pada 25 November.

Iklan

"Mahkamah Tinggi sudah menetapkan untuk mendengar notis usul pemohon membatalkan notis rayuan itu," katanya.

Beliau berkata, jika Mahkamah Tinggi membenarkan notis untuk membatalkan rayuan Peguam Negara itu, prosiding komital boleh diteruskan.

Mahkamah menetapkan 25 November ini untuk pengurusan kes komital itu.

Pada 16 Julai lalu, bapa Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, 65, memfailkan permohonan perintah komital kepada Tommy kerana menghina mahkamah berkaitan proses inkuiri kematian anaknya ketika insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield pada 27 November tahun lalu.

Permohonan sebelah pihak itu dibuat melalui Tetuan Mohd Zubir Embong & Associate di Pejabat Pendaftar Mahkamah Koroner.

27 Ogos lalu, Rofiah membuat keputusan untuk prosiding itu didengar sebelum Peguam Negara melalui Peguam Kanan Persekutuan S Narkunavathy memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap keputusan Koroner itu dua hari kemudian.

Hanif Khatri Abdulla mewakili keluarga Mohd Kassim pada prosiding hari ini.