Sidang DUN Selangor tegang isu mansuh PTPTN

Iklan
Sany ketika bangkit mencelah perbahasan Rizam sewaktu Sidang DUN hari ini.

SHAH ALAM - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang bermula hari ini sedikit tegang apabila isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibangkitkan ketika sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2020.

Kekecohan itu tercetus apabila Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail sewaktu perbahasannya menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan janji pemansuhan PTPTN dan tol seperti termaktub di dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan bangkit mencelah dengan menyatakan bahawa janji tersebut tidak termaktub di dalam manifesto berkenaan.

"Soal pemansuhan tol dan PTPTN ini untuk pengetahuan YB (Yang Behormat) Sungai Ayer Tawar, tak ada dalam janji PH.

Iklan

"Ini (janji mansuh tol dan PTPTN) Sungai Ayer Tawar kena tanya sahabat baik dari Sijangkang (Datuk Dr Yunus Hairi) sebab manifesto Pas yang mengatakan hapus PTPTN.

"Jangan tipu, jangan bohong dan jangan fitnah PH. Kalau kita tak berjaya laksana manifesto, tak ada masalah. Kita boleh minta kepimpinan utama minta maaf. Kita masih ada tempoh tiga tahun setengah lagi untuk tunaikan manifesto," katanya.

Iklan

Susulan itu, Yunus turut bangkit mencelah dan mengingatkan Sany tentang janji yang dilontarkan PH berhubung pemansuhan tersebut.

"Saya ingatkan Taman Templer kena fokus sikit. Hari ini menang, esok kita hapus PTPTN. Kos tak tinggi, RM6 bilion sahaja, Siapa yang cakap (mengenai janji itu)?" soalnya.

Isu mengenai PTPTN tersebut turut mendapat celahan daripada beberapa ADUN antaranya ADUN Sungai Panjang, Datuk Mohd Imran Tamrin, exco kerajaan negeri, Teng Chang Khim, ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli.

Bagaimanapun bagi meredakan keadaan, Speaker Selangor, Ng Suee Lim meminta Rizam meneruskan perbahasan beliau dan menasihati Ahli Dewan agar mematuhi peraturan mesyuarat.