Tidak akan jawab soalan rumah tangga: Alyah

Iklan
Datin Alyah
KONTROVERSI rumah tangga membabitkan Datin Alyah dan suaminya, Datuk Ramli MS memasuki episod baharu apabila penyanyi itu menyifatkan apa yang berlaku dua hari lalu, sebagai hari terburuknya.

Menurut Alyah, 37, menerusi Instagram miliknya, dia sudah memikir kesan setelah meninggalkan komen di akaun Instagram suaminya itu.

"Dalam setahun ada 12 bulan, jangan kata penyanyi jelah, kita letak semua manusia dalam bumi ini, tak kira dia lawyer, nelayan, dia apa-apalah atau dia netizen sekalipun, mesti ada hari buruk kita dalam 12 bulan tu.

"Jadi saya anggarkan dua hari lepas adalah hari terburuk saya untuk sepanjang tahun ini. Sebelum saya turunkan komen saya di Instagram (si dia - merujuk kepada Ramli MS) saya dah tahu apa akibatnya dan saya sangat pasti dengan apa yang saya buat, saya bukan budak-budak yang baru dapat telefon," tulisnya.

Alyah sebelum ini meninggalkan komen berbaur sindiran di salah satu video Instagram milik Ramli MS mengenai cara ucapan hari jadi yang dibuat pengacara Nabil Ahmad dan Jihan Muse.

Malah penyanyi yang baharu sahaja muncul dengan lagu Jutaan Purnama itu memberitahu sambutan hari jadi seperti itu digemari suaminya berbanding bacaan al-Quran yang dibuat untuknya di rumah.

Komen tersebut menimbulkan perbalahan di kalangan pengikut Ramli MS yang menyifatkan Alyah biadap dan tidak menghormati suaminya.

Bagaimanapun bagi Alyah sendiri, dia tidak mempunyai niat untuk mengaibkan sesiapa dan menganggap ia ingatan daripada Allah.

"Saya tiada niat untuk mengaibkan sesiapa dan kejadian ini tidak terjadi setiap hari. Saya percaya ini juga gerak daripada Allah bagi mengingatkan saya juga (si dia) dan mungkin kami terleka dan ego dengan sifat suka menyalahkan.

"Air tidak perlu mengatakan yang dia suci, matahari tidak perlu bagitahu yang dia kuat, siang tidak perlu marah bagi menyuarakan yang dia hebat," katanya.

Bukan itu sahaja, pemilik nama sebenar Noor Hasliah Abu Hasan ini juga memberitahu dia tidak lagi mahu menjawab sebarang persoalan mengenai rumah tangganya.

"Selama lapan tahun hanya saya saja yang menjawab segala persoalan dari anda mengenai rumah tangga saya dan hari ini saya ingin memberitahu saya tidak akan lagi menjawab segala soalan mengenai rumah tangga saya mahu pun mengenai (si dia) terpulang kepada kamu ingin mentafsirkan apa.

"Saya percaya hanya Allah sahaja tahu apa yang ada di dalam ini. Mungkin saya telah mencuit atau menguris hati-hati di luar sana.

"Saya ALYAH dengan serendah diri memohon maaf kerana saya telah membuatkan kamu kecewa, namun jauh di sudut hati saya tidak bermaksud sedemikian," ujarnya.

Alyah dan Ramli berkahwin pada 18 Mac 2013 di Indonesia secara rahsia.

Sebelum ini, Alyah juga membuat beberapa luahan perasaan menerusi Insta Story miliknya dan memberitahu penat untuk berpura-pura bahagia.