SHAH ALAM - Permohonan penerima yang layak bagi Skim Air Darul Ehsan akan diketahui pada Mac 2020 selepas proses semak silang dilakukan berdasarkan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Selangor menggesa pihak yang layak serta memenuhi syarat ditetapkan agar membuat permohonan secara dalam talian atau manual sebelum tarikh tutup pada 31 Disember ini.
Menurutnya, melalui skim itu Kerajaan Selangor tidak berhasrat untuk memansuhkan program air percuma namun ia hanyalah penjajaran untuk menilai kembali penerima bagi inisiatif tersebut.
"Kerajaan Selangor telah berbelanja sebanyak RM1.8 bilion bagi menampung pembiayaan program air percuma 20 meter padu untuk semua rumah di negeri ini sejak Jun 2008 hingga Ogos tahun ini.
"Jumlah pembiayaan kerajaan negeri di bawah Skim Air Darul Ehsan dijangka berkurangan kepada RM90 juta melalui penjajaran ini," katanya.
Amirudin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Rizam Ismail (BN-Sungai Ayer Tawar) mengenai anggaran perolehan hasil Kerajaan Selangor dengan pemansuhan skim air percuma kepada rakyat pada Mac 2020.
Mengulas lanjut Amirudin berkata, Kerajaan Selangor juga belum mempertimbangkan untuk meningkatkan kadar air percuma kepada 30 meter padu berikutan purata penggunaan air di negeri ini pada setiap bulan adalah pada 20 hingga 25 meter padu.
"Jadi kalau 20 meter padu itu dapat digunakan dengan baik ia sudah mencukupi untuk satu keluarga berkapasiti lima orang," katanya.
Dalam pada itu Amirudin berkata, Kerajaan Selangor juga tidak menyediakan air percuma buat golongan M40 berikutan kumpulan terbabit berkemampuan untuk membayar penggunaan air sebanyak RM11.40 untuk 20 meter padu sebulan.
Mengikut tafsiran Kerajaan Selangor, golongan M40 terdiri daripada mereka yang berpendapatan RM6,180 hingga RM12,469 sebulan.
"Bagaimanapun Kerajaan Selangor telah menyediakan beberapa program lain untuk golongan M40 yang secara langsung dapat memberi manfaat kepada mereka," katanya.