Dua kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran

Iklan
Salah sebuah kapal tangki yang ditahan APMM Tanjung Sedili petang semalam.

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedili menahan dua kapal tangki di perairan Johor Timur petang semalam kerana dipercayai berlabuh tanpa kebenaran sah Jabatan Laut.

Pengarah APMM Zon Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kedua-dua kapal berkenaan berjaya dikesan hasil rondaan anggota penguatkuasa di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

"Kapal tangki pertama dikesan adalah sebuah kapal berdaftar di negara ini yang mana berlabuh tanpa sebarang kebenaran di kedudukan 1.8 batu nautika tenggara Tanjung Ayam. Penahanan dibuat kira-kira jam 12.05 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan mendapati kapal dikendalikan sembilan lelaki warga Indonesia termasuk seorang nakhoda berusia lingkungan 26 hingga 62 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Mohd Zulfadli berkata, kapal kedua pula ditahan kira-kira jam 3.40 petang yang mana membabitkan sebuah vesel didaftar dari China.

"Kapal tangki sepanjang 330 meter ini ditahan di kedudukan 13.5 batu nautika timur Tanjung Penawar. Ketika pemeriksaan dilakukan pihak kapal juga gagal mengemukakan sebarang dokumen berlabuh yang sah.

Iklan

"Kapal ini dikendalikan 18 kru terdiri daripada lelaki warga India berusia 22 hingga 63 tahun," katanya.

Beliau berkata, penahanan kedua-dua kapal berkenaan disiasat mengikut Seksyen 491B (1)(i) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.