SHAH ALAM - Pas mempunyai sebab tersendiri dalam memberikan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas melihat pakatan pembangkang memerlukan bukan Islam yang tidak ekstrem dalam masyarakat majmuk iaitu MCA yang ada satu kerusi sahaja di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang itu memberi bayangan bahawa ketetapan itu bukan bersifat mutlak kepada pandangan yang lain pada masa akan datang.
"Untuk PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang, formula ini mungkin berubah dengan melihat senario dan strategi semasa untuk memastikan kemenangan Muafakat Nasional di peringkat yang lebih besar," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Kenyataan Ahli Parlimen Marang itu dibuat susulan Pas sebelum ini berdepan dengan kritikan daripada sesetengah pihak yang mendakwa sikap parti itu yang dianggap sering berubah-ubah.
Dalam pada itu, Pas juga beranggapan PRK Parlimen Tanjung Piai adalah simbol bagi konsep ta'awun demi perubahan peringkat nasional dan mewakili Muafakat Nasional.
Kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik dari Pakatan Harapan yang memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Jeck Seng (20,731 undi) dan calon Pas, Nordin Othman (2,962 undi) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan16 November sebagai hari mengundi manakala 12 November bagi pengundian awal.
PRK itu diadakan selepas Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.