GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang tetap dengan keputusan untuk membina semula Masjid Sungai Nibong Besar iaitu pada Januari tahun depan.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman turut menafikan bahawa Kerajaan Pulau Pinang sengaja melewatkan pembinaan semula masjid tersebut.
"Cadangan jajaran itu tidak akan mengubah pelan asal pembinaan masjid yang mana masjid akan dibina di atas tapak asal masjid.
"Pihak masjid akan mendapat tanah tambahan bersebelahan dengan Lot 10067 Mukim 13 Daerah Timur Laut iaitu di hadapan mehrab masjid. Pembinaan Masjid Sungai Nibong Besar adalah di atas Lot 3423 dan Lot 10067 Mukim 13, Daerah Timur Laut di mana masjid ini terletak di antara laluan Jalan Sultan Azlan Shah dan cadangan jajaran Transit Aliran Ringan (LRT).
"Setelah masjid ini dirobohkan untuk pembinaan semula, terdapat cadangan daripada Kerajaan Pulau Pinang untuk menjajarkan semula jajaran LRT iaitu pada asalnya jajaran LRT ini berada di hadapan mehrab masjid yang jarak antara LRT ini dengan bangunan masjid adalah 2.7 meter sahaja," katanya.
Ahmad Zakiyuddin (PKR-Pinang Tunggal) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor berhubung isu masjid tersebut.
Beliau menambah, penjajaran semula jajaran LRT itu telah menyebabkan pelaksanaan projek ini tertangguh kerana Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu membuat pindaan susun atur pelan masjid berdasarkan perubahan tersebut.
"Mengikut perancangan JKR, pembinaan masjid ini akan dimulakan pada Januari 2020. Kerajaan Pulau Pinang berpendirian bahawa jajaran LRT yang akan dilaksanakan adalah jajaran yang terbaik untuk semua pihak selepas mengambil kira nasihat dan keputusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang.
"Dari segi teknikal jajaran LRT yang telah dipilih ini merupakan jajaran yang lebih sesuai dari segi geometri dan dapat mengurangkan kos penyelenggaraan untuk tempoh masa panjang.
"Jajaran LRT ini juga akan berada selari dan hanya menggunakan bahu Jalan Sultan Azlan Shah sahaja dan tidak mengganggu kawasan perumahan yang berdekatan selain tidak memberikan impak kepada pembinaan masjid yang baru," katanya.
Terdahulu sekumpulan anak kariah Masjid Sungai Nibong Besar menyerahkan memorandum kepada Muhamad Yusoff berhubung gesaan mempercepatkan pembinaan semula masjid tersebut.
Penyerahan memorandum itu bagi membolehkan Muhamad Yusoff mengetengahkan isu tersebut dalam Sidang Dun untuk diambil perhatian oleh Ahmad Zakiyuddin selaku Exco Agama Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Masjid Sungai Nibong Besar, Sophian Mohd Zain berkata, memorandum setebal 17 muka surat itu mengandungi isu yang diketengahkan iaitu mempercepatkan pembinaan masjid selain mengikut pelan asal.
"Kami mendesak Kerajaan Pulau Pinang agar mengikut pelan asal cadangan jajaran LRT Bayan Lepas di kawasan masjid berkenaan. Perubahan jajaran itu dari pelan asal akan memberi impak negatif apabila pagar masjid akan berkongsi dengan pagar perumahan di kawasan tersebut.
"Selain itu jalan untuk kegunaan penduduk di perumahan di situ akan ditutup bagi membina masjid. Ini akan menimbulkan masalah di kalangan masyarakat di situ. Syarikat kontraktor dilihat meninggalkan masalah itu kepada pihak masjid," katanya ketika ditemui di hadapan Dewan Sri Pinang di sini hari ini.
Tambahnya, masjid yang dirobohkan pada Mei lalu sepatutnya mula dibina semula pada bulan sama namun diberhentikan selama tiga bulan oleh Kerajaan Pulau Pinang.
"Kerajaan Pulau Pinang memberi tempoh tiga bulan untuk bertenang selepas ahli kariah membantah anjakan pembinaan dari pelan asal. Sepatutnya pembinaan bermula Ogos lalu namun sehingga kini tiada sebarang kerja dibuat.
"Wang anak kariah sebanyak RM4.65 juta telah diserahkan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU) pada April lalu, lebih banyak dari kerajaan Pusat salurkan iaitu hanya RM1.8 juta namun masjid belum dibina.
"Oleh itu kami berharap agar suara kami dapat dibawa ke persidangan oleh Muhamad Yusoff untuk perhatian Kerajaan Pulau Pinang dan Ahmad Zakiyuddin," katanya.