GEORGETOWN - Lima keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam kejadian kebakaran di Ladang Hong Seng, Tanjong Tokong di sini pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.50 pagi itu, keseluruhan rumah mereka hangus terbakar namun tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.53 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba Bagan Jermal dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran.
Menurutnya, ketika anggota sampai di lokasi kejadian mendapati api marak dan mengakibatkan dua buah rumah di kawasan berkenaan musnah.
"Disebabkan kedudukan rumah yang berdekatan selain struktur diperbuat daripada kayu menyebabkan api merebak cepat dan merebak ke tiga buah rumah lain.
"Bagaimanapun kesemua penghuni rumah yang terlibat berjaya menyelamatkan diri dan sehingga kini kerja-kerja memadam kebakaran masih lagi dilakukan,"katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu Exco Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, kesemua mangsa yang terjejas ditempatkan ke pusat pemindahan Ladang Lada.
Katanya, Kerajaan Pulau Pinang telah berhubung dengan bahagian perumahan bagi mendapatkan rumah sementara di Taman Pelangi, Lebuh Maccalum dan Padang Tembak untuk menempatkan mereka yang terlibat.