Mekanik jadi orang tengah jual komponen motosikal curi

Iklan
Abdul Rozak (kanan) menunjukkan sebahagian daripada komponen motosikal yang dirampas dalam serbuan di sebuah bengkel motosikal di Kampung Bukit Kenak, Jertih, Besut, Khamis lalu.

BESUT - Seorang mekanik ditahan selepas disyaki membeli komponen motosikal curi sebelum menjual semula di laman sosial.

Kegiatan suspek berusia 20-an itu terbongkar selepas bengkel motosikal miliknya di Kampung Bukit Kenak, Jertih, di sini di serbu kira-kira jam 8.30 pagi pada Khamis lalu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, ketika serbuan, polis menemui beberapa komponen motosikal yang sudah dileraikan selain 17 motosikal termasuk sebuah daripadanya motosikal berkuasa tinggi dipercayai dari negara jiran.

"Kebanyakan motosikal yang dijumpai adalah jenama Honda, Yamaha dan Modenass Kriss.

Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada motosikal tersebut yang dilaporkan hilang di Kota Bharu dan Tumpat, Kelantan tetapi enjin dan nombor casisnya sudah diganggu.

"Selain itu, sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Suzuki GSXR 750 dijumpai dipercayai dibawa masuk dari negara jiran kerana tidak didaftarkan di negara ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Iklan

Abdul Rozak memberitahu, siasatan awal juga mendapati suspek menjadi 'orang tengah' kepada pembeli komponen motosikal curi itu.

"Suspek dipercayai menjadikan bengkel yang beroperasi secara haram sejak enam bulan lalu sebagai tempat meleraikan komponen motosikal terbabit.

"Siasatan juga mendapati suspek sebelum ini memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah," katanya.