Tiada peruntukan baik pulih Stadium Shah Alam: Amirudin

Iklan
Amirudin Shari

SHAH ALAM - Peruntukan sebanyak RM2.4 juta untuk projek baik pulih dan naik taraf infrastruktur sukan yang diumumkan pada Belanjawan Selangor 2020 Jumaat lalu tidak melibatkan baik pulih Stadium Shah Alam.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, tiada peruntukan baik pulih Stadium Shah Alam dalam belanjawan disebabkan pengurusannya diserahkan di bawah Darul Ehsan Facilities Management atau Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Iklan
Iklan

Menurutnya, penswastaan stadium sejak empat tahun lalu dilakukan bagi memudahkan kerja penyelenggaraan dan penjagaan ditumpukan kepada pengurusan yang dilantik.

"Untuk ubah sistem secara keseluruhan kos yang diperlukan adalah tinggi iaitu RM250 juta dan tidak boleh dilakukan sekaligus. Untuk penumpuan kerja dari segi luaran sahaja ia tidak memberikan makna kerana yang menjadi keutamaan adalah asasnya

Iklan

"Teguran Ketua Pembangkang, Rizam Ismail tadi hanya dari aspek stadium nampak tak cantik tapi hakikatnya asas seperti keadaan padang, tahap penggunaan dan struktur masih dalam keadaan baik," katanya menjawab pertanyaan media ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor hari ini.

Katanya, penyelenggaraan dan baik pulih stadium dilakukan secara tahunan mengikut keutamaan dan kesesuaian.

Iklan

"Sekurang-kurangnya RM5 juta diperuntukkan secara tahunan di bawah pinjaman kerajaan negeri bagi kerja naik taraf.

"Setakat ini tandas beroperasi dalam keadaan baik, pintu keluar masuk stadium turut ditambah baik selain beberapa perubahan luaran termasuk kerja mengecat dilakukan mengikut keperluan," katanya.

Pada ucapan perbahasan Belanjawan Selangor 2020, Rizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar berharap Stadium Shah Alam dapat dinaik taraf dan dibaiki kerosakan termasuk bumbung, tempat duduk serta scoreboard.

"Tempat perlawanan adalah cerminan kepada keseriusan sesebuah pasukan yang bertanding. Sedihnya, Stadium Shah Alam ini apabila dilihat dari luar, keadaannya tersangatlah uzur dan tiada lagi ciri-ciri stadium yang boleh dibanggakan dengan keadaan kusam dan tidak bermaya.

"Stadium Shah Alam pada suatu ketika pernah berada dalam zaman kegemilangannya. Tiba masa kita kembalikan semula kegemilangan stadium keramat kita ini.

"Memandangkan kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM2.24 juta untuk kerja-kerja pembaikan dan naik taraf infrastruktur sukan di negeri maka saya ingin mencadangkan

agar sebahagian daripada peruntukan ini disalurkan bagi menaiktaraf dan memperbaiki kerosakan yang dialami oleh Stadium Shah Alam ini," katanya.