GEORGETOWN - Barisan pembangkang Pulau Pinang disarankan agar menyediakan belanjawan alternatif agar rakyat boleh membuat perbandingan dengan belanjawan yang disediakan kerajaan Pulau Pinang.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR- Pantai Jerejak) berkata, amalan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang dahulu elok diikuti untuk dibahaskan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Menurutnya, belanjawan itu perlu dibentangkan dua atau tiga hari lebih awal sebelum belanjawan kerajaan negeri dibentangkan.
"Selepas meneliti perbahasan belanjawan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN- Sungai Dua), saya mendapati beliau mempunyai banyak syor; idea; cadangan, teguran dan kritikan. Oleh itu, saya berpendapat lebih baik semua itu diterjemahkan melalui dokumen belanjawan alternatif.
"Kebaikannya, rakyat dapat membandingkan antara belanjawan kerajaan dan pembangkang. Amalan ini telah dilakukan PH dan elok jika diikuti pembangkang di Pulau Pinang. Muhamad Yusoff orang lama, dia berpengalaman luas. Alangkah baiknya jika ia diolah dalam belanjawan alternatif," katanya.
Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata demikian ketika membahaskan ucapan Bajet 2020 Pulau Pinang dalam Sidang DUN di Dewan Sri Pinang di sini.
Beliau berkata, perbahasan akan tertumpu kepada dasar sekiranya barisan pembangkang membuat belanjawan alternatif tahun depan.
"Perbahasan dalam dewan akan bertambah menarik sekiranya ada belanjawan alternatif kerana ia akan tertumpu kepada dasar dan bukannya menyinggung atau menyentuh soal sentimen lain. Saya tidak pasti mengapa kali ini pembangkang tidak buat (belanjawan alternatif).
"Tidak cukup wakil rakyat bukan alasan kerana kita dahulu pun, bersusah payah nak dapatkan data. Jika tiada maklumat, kena berani buat unjuran yang munasabah. Pas dan UMNO ada keupayaan itu, bukan di kalangan wakil rakyat tetapi kelompok profesional," katanya.
Saifuddin berkata, beliau berharap agar barisan pembangkang menyahut cabaran untuk membentuk belanjawan alternatif pada tahun depan.