PONTIAN – Sebanyak 235 kertas undi pos dikeluarkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semalam.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kertas undi pos itu dikeluarkan bermula pada jam 12 tengah hari oleh petugas pilihan raya di Bilik Mesyuarat, Pejabat Daerah Pontian meliputi kategori undi pos.
Menurutnya, seramai lapan orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara turut dikeluarkan di mana mereka terdiri penjawat awam berkhidmat di luar negara dan pasangannya serta pelajar sepenuh masa di luar negara dan pasangannya.
"Seramai 225 orang pengundi terdiri daripada petugas pilihan raya dan pegawai SPR (Borang 1A) dan dua permohonan diterima bagi kategori Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dari Jepun dan United Kingdom manakala
tiada kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan).
"Kesemua proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil-wakil calon daripada Pakatan Harapan (PH), Gerakan, Berjasa dan calon bebas,” katanya dalam satu kenyataan.
Azhar berkata, SPR turut mengundang para pemerhati pilihan raya dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos itu terdiri daripada TINDAK Malaysia, Institut Darul Ehsan (IDE), Pertubuhan Akademi Demokrasi dan
Kewarganegaraan Malaysia (APDK) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).
"Proses pengeluaran kertas undi pos bagi PRK Parlimen Tanjung Piai juga disiarkan secara live streaming di Facebook SPR bagi menunjukkan proses tersebut dilakukan secara telus dan adil," katanya.