Malaysia masih berunding dengan Goldman Sachs isu pampasan 1MDB

Iklan
Dr Mahathir (tiga dari kiri) ketika bergambar ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 hari ini. -Foto Bernama

BANGKOK - Malaysia masih berunding dengan Goldman Sachs mengenai jumlah pampasan berhubung skandal 1MDB yang dijangka dapat diperoleh daripada bank pelaburan dan syarikat perkhidmatan kewangan itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berada di sini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-35 berkata, Kuala Lumpur menolak tawaran Goldman Sachs sebelum ini yang dianggap terlalu rendah.

Iklan
Iklan

"Mereka telah menyebabkan kita kehilangan kira-kira AS$7 bilion. Mereka mungkin tidak mahu membayar jumlah itu. Tawaran (pampasan) mereka terlalu rendah, kerana itu kita tidak menerima tawaran mereka," katanya kepada media Malaysia ketika ditanya mengenai perkara berkenaan di sini hari ini.

"Tetapi berapa banyak kita bersedia menerima, tentu saja, ia berdasarkan rundingan, daripada rundingan luar mahkamah. Tetapi jika kita tidak dapat mencapai persetujuan, kita perlu ke mahkamah," kata beliau.

Iklan

Dalam temu bual dengan Financial Times baru-baru ini Dr Mahathir dipetik sebagai berkata bahawa Goldman Sachs telah menawarkan 'kurang daripada AS$2 bilion', jumlah yang Malaysia tidak berpuas hati.

"Kami tidak berpuas hati dengan jumlah itu, jadi kami masih berunding dengan mereka... jika mereka memberi respons munasabah, kami mungkin tidak akan bertegas untuk mendapatkan AS$7.5 bilion," kata Dr Mahathir dalam artikel Financial Times tersebut.

Iklan

Menurut artikel itu, Goldman Sachs membantu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) untuk memperoleh bon bernilai AS$6.5 bilion dan bank pelaburan antarabangsa itu didakwa memperoleh RM600 juta sebagai yuran daripada terbitan bon tersebut.

Laporan itu menyebut Malaysia menuntut pampasan sebanyak US$7.5 bilion daripada Goldman Sachs berikutan kerugian yang dialaminya. - Bernama