Maqis rampas orkid dari negara jiran

Iklan
Tiga bekas orkid dari Thailand tanpa sebarang dokumen sah dirampas oleh Maqis di balai ketibaan KLIA kelmarin.

SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk tiga bekas orkid dari Thailand tanpa sebarang dokumen sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kelmarin.

Pengarah Maqis Selangor/ Negeri Sembilan, Dr Tarmisal Alimin berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap seorang warga Thailand di balai ketibaan KLIA kira-kira jam 10 malam.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati lelaki tersebut membawa orkid yang diletakkan di dalam tiga bekas yang berasingan. Orkid itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaannya sendiri.

"Orkid tersebut dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti permit import dan sijil fitosanitasi daripada negara asal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Menurutnya, tindakan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import sah daripada Maqis merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya sentiasa mengambil langkah serius dan tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan serta jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Katanya, Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara ini.

"Langkah ini bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan oleh kerajaan," katanya.