LANGKAWI - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengeluarkan arahan agar semua aktiviti sukan air di kawasan pantai sekitar Pulau Langkawi dihentikan berkuat kuasa serta merta.
Timbalan Pegawai APM Langkawi, Leftenan (PA) Azam Shah Apearal berkata, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan keselamatan pengunjung susulan pulau peranginan itu dijangka menerima tempias ribut Tropika Pabuk, bermula hari ini.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan pada 11.00 pagi tadi selepas mendapati keadaan angin kencang berlaku di Pantai Chenang dan Pantai Tengah dengan kelajuan mencecah sehingga 22km sejam.
"Keadaan angin kuat itu boleh menyebabkan pelbagai risiko sekiranya aktiviti sukan air seperti jet ski dan parasailing diteruskan, sebab itu kita naikkan bendera merah di menara penyelamat pantai di dua pantai terbabit,” katanya.
Azam Shah berkata, bagaimanapun, sekiranya terdapat pelancong masih mahu menikmati keindahan laut dan berhasrat berada di persisiran pantai, mereka hendaklah memaklumkan kepada petugas yang berkawal di menara penyelamat pantai.
"Kita masih benarkan pengunjung ke pantai, cuma mereka harus lebih berhati-hati. Kami turut menempatkan anggota APM di menara penyelamat dan sepanjang pantai untuk memantau aktiviti pengunjung, terutama yang membawa kanak-kanak,” katanya.
Menurutnya, seramai 15 anggota APM ditugaskan untuk memantau persekitaran pantai agar sentiasa siap siaga.
"Kesemua 30 anggota APM Langkawi juga sentiasa bersedia sekiranya diperlukan untuk mengawal keadaan pantai dan laut sepanjang tempoh itu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menyatakan ribut Tropika Pabuk sedang bergerak ke arah barat laut di Teluk Siam merentasi Segenting Kra ke Laut Andaman, keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia.