PENYERANG Tottenham Hotspur, Son Heung-min cukup terkesan dengan insiden malang yang menimpa pemain Everton, Andre Gomes pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park awal pagi tadi.
Kapten Korea Selatan itu dilaporkan masih terkejut dan bersedih dengan situasi Gomes yang mengalami patah buku lali dalam perlawanan tersebut yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 1-1.
Iklan
Iklan
"Ketika di bilik persalinan saya nampak Sonny (Heung-min) menangis teresak-resak biarpun itu bukan kesalahannya. Seperti mana yang saya katakan sebelum ini, Sonny adalah insan yang baik pernah saya temui dan dia tidak langsung berniat melakukan perkara sedemikian.
"Jika anda berada di bilik persalinan anda dapat lihat Sonny hanya tunduk menangis sepanjang masa meratapi apa yang telah berlaku," kata tonggak Spurs, Dele Alli.
Insiden malang itu berlaku pada minit ke-79 apabila Heung-min mengasak Gomes dari arah belakang sebelum pemain tengah Everton itu bertembung dengan pertahanan Spurs, Serge Aurier sehingga menyebabkan kecederaan serius pada buku lalinya.