Patahkan kegiatan transit pengganas

Iklan
Gambar hiasan

Perkataan terrorism telah mula diperkenalkan sejak Revolusi Perancis pada lewat abad ke-18. Bagaimanapun, perkataan terrorism mula mendapat populariti dalam arus perdana pada tahun 1970-an meliputi konflik di Ireland Utara dan Palestin.

Namun, sejak peristiwa 11 September 2001 apabila runtuhnya menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York, Amerika Syarikat selepas dirempuh dua pesawat dirampas pengganas, terrorism menjadi mimpi ngeri kepada banyak negara di dunia.

Iklan
Iklan

Malaysia tidak terkecuali menjadi antara negara yang sangat waspada dengan aktiviti dan pergerakan pengganas.

Apatah lagi, Malaysia berada di tengah-tengah rantau Asia Tenggara yang menyaksikan betapa maraknya konflik dan aktiviti keganasan.

Iklan

Indonesia sebagai contoh sering digemparkan dengan siri serangan pengganas. Siapa yang mampu melupakan pengeboman Bali pada tahun 2002 yang meragut lebih 200 nyawa.

Di sebelah wilayah Timur Malaysia pula, negara diancam dengan aktiviti pengganas di selatan Filipina. Siri penculikan malah serangan di Lahad Datu, Sabah menggugat keamanan tanah air.

Iklan

Tidak terkecuali, Malaysia turut merasa tempias konflik bersenjata di selatan Thailand.

Minggu lalu, Amerika Syarikat dalam satu laporannya berhubung kegiatan terrorism menyenaraikan Malaysia sebagai sumber dan transit kegiatan pengganas.

Laporan itu menyebut walaupun tidak berlaku serangan berkait kumpulan terroris di Malaysia tahun lepas, namun penyokong IS yang disyaki dari Turki dan pengganas yang bergerak ke selatan Filipina menggunakan Malaysia sebagai transit.

Lokasi strategik Malaysia, kemudahan jaringan pengangkutan, kestabilan politik dan ekonomi negara, mungkin antara faktor Malaysia menjadi pilihan transit pengganas.

Namun, apa yang membimbangkan sekiranya jika daripada aktiviti transit itu, anggota terroris mengambil peluang mengembangkan dakyah mereka dalam kalangan warga tempatan.

Apatah lagi, perkembangan teknologi hari ini, penyebaran dan proses rekrut ahli militan menjadi semakin mudah.

Cukuplah kita mendengar nama-nama seperti Noordin Mohammad Top, Dr Azahari Husin atau Yazid Sufaat.