'Berfikir di luar kotak' jadikan negara kompetitif

Iklan
Dr Yusof

KOTA KINABALU - Persekitaran ekosistem cara bekerja dalam organisasi mahupun gaya hidup masyarakat perlu dilonjakkan bagi memastikan negara terus kekal kompetitif dan berdaya saing melalui pemikiran di luar kotak.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob berkata, untuk mencapai matlamat itu, inovasi diperlukan bagi memastikan ia memenuhi kehendak dan keperluan semasa terutamanya dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0.

Iklan
Iklan

"Senario ini secara tidak langsung menuntut kita untuk melipatgandakan usaha bagi mencipta pelbagai cetusan idea berinovatif dalam sistem penyampaian perkhidmatan seiring dengan arus globalisasi yang kini semakin berkembang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh pembantu menteri kepada kementerian itu, Jenifer Lasimbang sempena Majlis Malam Apresiasi 2019, Jabatan Penerangan Sabah (Japen), di Wisma Wanita, malam tadi.

Iklan

Yusof yang juga Exco Komunikasi dan Multimedia Sabah berharap, melalui kaedah inovasi, akan mampu memberikan transformasi terhadap model perkhidmatan untuk diberikan kepada golongan sasar.

Sementara itu, Pengarah Japen Sabah, Norzawiyah Bulka berkata, peningkatan kualiti melalui penerapan budaya kreatif dan inovatif oleh pegawai berintegriti mampu menjana idea baharu untuk memacu Japen ke arah kecemerlangan pada masa akan datang.

Iklan

Katanya, Japen perlu berubah menuju ke arah digital yang bukan hanya tertumpu kepada program turun padang tetapi juga menyampaikan maklumat melalui platform media sosial untuk menarik generasi muda.

"Program turun padang adalah pendekatan utama Japen untuk menyantuni masyarakat di akar umbi, namun Japen tidak boleh lagi merasa selesa dan berpuas hati dengan sistem kerja yang sudah lama diaplikasikan khususnya dalam sistem penyampaian dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat," katanya.

Pada majlis itu, sebanyak 20 kategori anugerah inovasi dipertandingkan antaranya anugerah pegawai perhubungan awam terbaik, anugerah pelopor isu terbaik dan anugerah aktivis media sosial. - Bernama