Tiada laporan basikal lajak di Perak

Iklan
Razarudin menyampaikan surat penghargaan kepada Ishak Che Hassan, 66, yang membantu qari dan qariah pada Majlis Tilawah PDRM peringkat Kebangsaan 2019 Oktober lalu.

IPOH - Polis Perak tidak menerima sebarang laporan berhubung kegiatan basikal lajak yang menjadi trend dalam kalangan remaja di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, tiada aduan dibuat setakat ini dan pihaknya juga mendapati, tidak ada lokasi-lokasi khusus yang dijadikan port bagi aktiviti berkenaan.

Iklan
Iklan

"Begitupun anggota-anggota kita sentiasa memantau dan diarah mengambil tindakan segera jika berlaku," katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Polis Perak di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

Beliau berkata, meskipun tiada laporan, polis tetap memandang serius perkembangan aktiviti itu kerana ia membabitkan isu keselamatan.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kalau tiada dashcam, pasti pemandu salah bukan basikal lajak'

Katanya, menerusi program Komuniti Kepolisan, pihaknya sentiasa mengingatkan penjaga dan ibu bapa akan bahaya aktiviti itu yang boleh mendatangkan risiko kepada diri dan pengguna jalan raya.

Iklan

"Program komuniti kepolisan yang kita laksanakan setiap minggu menjadi ruang kita mendekati ibu bapa dan menyampaikan peringatan akan perkara ini," katanya.

Terdahulu media melaporkan ibu bapa kepada anak yang terlibat dengan kegiatan basikal lajak sehingga mengundang bahaya boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001.

Seksyen itu memperuntukkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan untuk ibu bapa atau penjaga membiarkan anak-anak tanpa pengawasan yang berpatutan di mana jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Harap ada undang-undang banteras basikal lajak

Dalam perkembangan lain, Razarudin berkata, penglibatan pegawai dan anggota polis negeri ini dalam kegiatan penyalahgunaan dadah tidak begitu membimbangkan memandangkan tindakan awal telah diambil.

Jelasnya, sejak memangku tugas Ketua Polis tahun lalu lagi, konsep 'back to basic' dipraktikkan di mana salah satunya adalah berkenaan memantau pergerakan pegawai dan anggota.

"Setiap Ketua Polis Balai akan mengambil 'roll-call' setiap hari untuk menentukan setiap pegawai dan anggota yang tidak bercuti perlu hadir pada taklimat itu.

"Pada setiap bulan juga, Ketua Polis Daerah akan melakukan 'general roll call' dalam memastikan pegawai dan anggota mereka masih berada dalam daerah dan kontinjen masing-masing, cara ini kita dapat pantau pergerakan mereka," katanya.

Dalam majlis berkenaan Razarudin turut menyampaikan surat penghargaan kepada 49 anggota polis pelbagai pangkat dan seorang orang awam atas sumbangan yang menunjukkan dedikasi dan komitmen tinggi dalam menaikkan imej Polis Perak.