KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedili menahan 11 warga Indonesia dalam sebuah bot gentian kaca yang berjaya dipintas di kedudukan 3.6 batu nautika perairan Selatan Tanjung Ayam, di sini malam tadi.
Pengarah APMM Zon Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kesemua warga asing termasuk dua wanita itu berjaya dikesan kira-kira jam 10.20 malam hasil rondaan anggota penguat kuasa di laluan terbabit.
Menurutnya, kesemua warga asing yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun.
"Dalam operasi ini, kita telah menahan seramai lapan lelaki dan dua wanita. Seorang tekong dan seorang pembantu bot juga telah dikenal pasti bertanggungjawab mengendalikan bot berkenaan.
"Operasi ini juga turut menyaksikan anggota APMM Zon Tanjung Sedili terpaksa memintas bot pancung jenis gentian kaca dinaiki semua warga asing terbabit kerana pada mulanya mereka enggan memberi kerjasama sewaktu diminta berhenti bagi proses pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Zulfadli berkata, hasil pemeriksaan kemudiannya mendapati kesemua mereka yang berada di dalam bot terbabit juga tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua warga asing ini akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pemerdagagan Manusia dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 kerana cuba keluar atau masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan.
"Jika sabit kesalahan, kesemua mereka boleh dikenakan hukuman didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan kepada mana-mana pihak terutama warga asing yang ingin datang atau pulang ke negara asal untuk menggunakan laluan sah bagi mengelak berlaku perkara tidak diingini.