CALIFORNIA - Seorang pekerja aliran transit dianggap sebagai 'hero' kerana berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang jatuh ke landasan kereta api ketika mendekati platform.
Kejadian dramatik itu berlaku di Stesen Bay Area Rapid Transit (BART) di Oakland selepas perlawanan Liga Bola Sepak Nasional (NFL) antara Oakland Raiders dan Detroit Lions, Ahad lalu.
BART dalam satu kenyataannya berkata, kejadian tersebut berlaku apabila lelaki tersebut yang dalam keadaan mabuk secara tidak sengaja terjatuh dalam landasan kereta api itu dan berterima kasih kepada pekerjanya, John O'Connor kerana berjaya menyelamatkan satu nyawa.
"John ketika itu berada di platform untuk memastikan orang awam tidak melepasi garisan kuning sebagai langkah keselamatan dan kemudian seorang lelaki mabuk yang tersilap langkah lalu terjatuh ke landasan ketika kereta api sedang menghampiri.
"John menarik bahu sehingga dia naik ke atas platform sebelum mereka berdiri dan memeluk antara satu sama lain," lapor CNN memetik sumber sebagai berkata.
Dalam pada itu, O'Connor yang juga penyelia pengangkutan di syarikat aliran transit ketika ditemui berkata, dia melihat lelaki tersebut jatuh dan menganggarkan jarak antara kereta api itu cuma sejauh 60 meter sebelum dia menarik lelaki tersebut.