KUALA LUMPUR - Taman Tasik Titiwangsa yang ditutup sejak September tahun lalu akan mula dibuka kepada pengunjung bermula Januari ini.
Sumber Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan memaklumkan taman rekreasi itu masih belum dibuka.
Menurutnya, ia berikutan pihak projek dan klien masih dalam proses memobilisasi pasukan sekuriti, pembersihan dan lain-lain yang berkaitan.
"Sila ambil maklum bahawa taman ini masih belum dibuka untuk kegunaan awam.
"Jika berlaku apa-apa insiden kepada pengunjung, dikhuatiri tiada perlindungan yang dapat membantu kerana tiada pasukan sekuriti atau kontraktor,” katanya menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Taman Tasik Titiwangsa ditutup kepada orang ramai pada 1 September 2018 bagi memberi laluan kerja-kerja pengindahan dan penambahbaikan.
Dalam satu notis sebelum ini DBKL memaklumkan sebarang aktiviti riadah tidak dibenarkan dilaksanakan di kawasan tersebut.
DBKL juga tidak bertanggungjawab atas sebarang kemalangan dan kecederaan berlaku kepada mana-mana individu yang memasuki kawasan tersebut tanpa kebenaran sepanjang tempoh penutupan.