PONTIAN- Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) mendedahkan kerusi Parlimen Tanjung Piai merupakan milik parti itu berdasarkan kerjasama dalam Gagasan Sejahtera bersama Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU14) lalu.
Presiden Berjasa, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, Pas tidak pernah mendedahkan perkara tersebut kerana lebih mengutamakan Piagam Muafakat Nasional dengan UMNO berbanding Gagasan Sejahtera.
"Pada PRU14, Gagasan Sejahtera dianggotai Pas, Berjasa, Parti Cinta Malaysia dan Ikatan (Parti Ikatan Bangsa Malaysia) membuat kerjasama dengan membahagi kerusi yang akan ditandingi.
"Cuma setiap parti menyediakan calon tetapi ketika bertanding kami semua menggunakan logo Pas. Berjasa telah diberi pilihan kerusi di Segamat dan Tanjung Piai. Berjasa memilih Tanjung Piai dengan meletakkan Nordin Othman," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Tanjung Piai di sini hari ini.
Badhrulhisham berkata, perkara terbabit tidak pernah diceritakan oleh Pas yang asyik menyalahkan Berjasa kerana dianggap mengkhianat Pas.
"Berjasa juga kecewa kerana Pas dan UMNO kerana tidak melibatkan kami dalam perbincangan tentang calon mereka. Kami tidak kisah kalau UMNO dan Pas yang bertanding.
"Tetapi sekurang- kurang panggillah kami baru nampak muafakat dengan semua komponen parti yang bekerjasama dengan Pas. Ini kami hanya nampak Piagam Muafakat Nasional hanya UMNO dan Pas sahaja," katanya.
Mengenai kenyataan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang yang akan mengkaji kerjasama dengan Berjasa, Badhrulhisham menegaskan pihaknya tidak risau dengan kenyataan tersebut kerana masih berpegang teguh dengan Gagasan Sejahtera.
"Berjasa tidak pernah bermusuh dengan Pas dan UMNO. Berjasa bertanding pada PRK Tanjung Piai dengan misi besar untuk mengangkat agenda Melayu Islam," katanya.