Remaja cuba tikam diri sendiri ketika diserbu

Iklan
Sebahagian yang diperiksa dalam operasi dijalankan anggota AADK di Kuala Muda semalam. - Foto: AADK

SUNGAI PETANI - Seorang remaja cuba menikam diri sendiri ketika rumahnya di Jeniang di sini diserbu penguat kuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) semalam.

Tindakan agresif remaja berkenaan dipercayai berlaku akibat kesan pengambilan dadah jenis methamphetamin dan morfin sehingga bertindak di luar kawalan.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, selain remaja terbabit, lima individu lagi dikesan sebagai penagih 'polydrug' positif dadah berkenaan dalam operasi diketuai pegawai penguat kuasa Irdawati Abdul Hamid.

Pemeriksaan dilakukan di beberapa lokasi panas.- Foto AADK

Menurutnya, seramai 19 orang dikesan positif dadah berusia antara 17 hingga 45 tahun dalam siri serbuan di beberapa kawasan panas di Kuala Muda termasuk Sungai Petani, Merbok, Bedong, Jeniang, Gurun dan Tikam Batu.

Iklan

"Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati 11 lelaki positif dadah jenis methamphetamin, dua positif morfin dan enam lagi 'polydrug user'. Antara kesan langsung penagih 'polydrug' ialah tingkah laku yang sangat agresif.

"Antara penagih polydrug yang ditangkap semalam adalah seorang remaja berumur 19 tahun bertindak cuba menikam diri sendiri kerana berang ditangkap AADK di rumahnya di Jeniang, namun berjaya dihalang dengan tindakan pantas anggota penguat kuasa," katanya.

Iklan

Menurutnya, siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998.

Beliau berkata, AADK mengalu-alukan mana-mana penagih yang ingin berubah tampil secara sukarela ke cawangan AADK bagi mendapatkan rawatan dan pemulihan yang bersesuaian.

Masyarakat juga diharapkan memberi sokongan kepada golongan ini dalam usaha menangani isu dan masalah dadah dalam komuniti.