Dua sahabat baik jawab SPM di hospital

Iklan
Sebahagian daripada lima lagi calon lain yang terpaksa menduduki SPM di HSNZ.

KUALA TERENGGANU - Dua sahabat baik terpaksa menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di hospital kerana terbabit dalam kemalangan mengakibatkan kedua-duanya patah tulang kaki.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Razali Ismail, Nur Anis Mardiyyah Rosli, 17 dan rakan baiknya, Nor Aisyah Hanna Kamaruddin, 17, bersama-sama menduduki peperiksaan pada hari pertama hari ini bagi subjek teras di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Iklan
Iklan

Menurut Nur Anis Mardiyyah, dia sedih kerana terpaksa menjawab peperiksaan dalam keadaan dirinya 'bertarung' dengan kesakitan ekoran kejadian menimpanya minggu lalu.

Bagaimanapun katanya, kehadiran ibunya, Nor Hafizah Karim, 39 yang sentiasa di sisi menemaninya sepanjang berada di hospital menguatkan semangat untuk dia mendapatkan keputusan terbaik dalam peperiksaan itu.

Iklan

"Memang sedih sebab terpaksa jawab periksa dalam keadaan sakit lagipun saya tak pernah terfikir untuk jawab SPM di hospital.

"Sebelum ini saya hanya membayangkan berada di dewan yang luas bersama rakan-rakan yang lain untuk sama-sama menduduki peperiksaan ini.

Iklan

"Namun saya bersyukur dan reda atas ketentuan ALLAH SWT, mungkin ada rezeki yang lebih baik yang diaturkan kepada saya," katanya ketika ditemui di HSNZ hari ini.

Nur Anis Mardiyyah mengulangkaji pelajaran di HSNZ bagi menghadapi peperiksaan bagi subjek teras SPM.

Mengimbau insiden yang berlaku pada Rabu minggu lalu Nur Anis Mardiyyah berkata, ketika itu dia dari Kg Bukit Bayas menunggang motosikal bersama Nor Aisyah Hanna untuk ke rumah rakan mereka di Kg Teluk Paku di sini.

Malangnya, motosikal ditunggang bergeser dengan sebuah kenderaan menyebabkan mereka berdua terjatuh sehingga patah tulang kaki.

"Selepas kemalangan saya sukar untuk bangun, sukar untuk menulis dan memegang buku. Saya juga masih trauma dengan kejadian itu.

"Kejadian itu memang tidak disangka sebab masa tu tarikh periksa dekat sangat, seminggu lagi nak menduduki peperiksaan," katanya.

Katanya, rakan baiknya sejak tingkatan satu, Nor Aisyah Hanna yang berasal dari Kg Tualang, Manir juga berkongsi perasaan yang sama.

Bagaimanapun, dia berkata, mereka menganggap ia sebagai ujian dan meletakkan sasaran untuk mendapat keputusan terbaik sekurang-kurangnya 4A dalam peperiksaan itu.

"Kalau boleh saya memang nak dapatkan keputusan cemerlang paling kurang dapat 4A dalam SPM," katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Hari pertama peperiksaan bagi subjek teras SPM di Terengganu hari ini menyaksikan seramai enam pelajar menduduki SPM di hospital iaitu lima di HSNZ manakala seorang lagi di Hospital Kemaman.