KUALA LUMPUR - Kos vaksin dan operasi pemberian imunisasi kepada kanak-kanak warga Filipina yang berada di Alternative Learning Center di Sabah ditanggung sepenuhnya oleh negara itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pada 30 Julai lepas, Malaysia dan Filipina memeterai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan skop kerjasama dalam aspek kesihatan bagi kedua-dua negara.
Menurutnya, MoU itu ditandatangani antara beliau dan rakan sejawatannya, Setiausaha Kesihatan Filipina, Dr Francisco T Duque III selepas Mesyuarat Menteri Kesihatan Malaysia dan Filipina.
"Jadi dari segi kos, ia ditanggung sepenuhnya kerajaan Filipina. Oleh itu, tidak timbul isu kos ke atas kerajaan Malaysia,” katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dr Dzulkefly berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) mengenai anggaran kos yang akan ditanggung Malaysia bagi menzahirkan bantuan vaksin dan imunisasi kepada warga Filipina di Sabah.
Bagi mencapai imuniti kelompok pula, Dr Dzulkefly berkata, sekurang-kurangnya 95 peratus kanak-kanak perlu diimunisasi termasuk mereka yang bukan warganegara atau mereka yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
"Sekiranya golongan ini disisihkan, imuniti kelompok dalam kalangan kanak-kanak rakyat Malaysia tidak dapat dicapai akibat penurunan liputan imunisasi dan ini akan menyebabkan penularan penyakit yang boleh dicegah dengan vaksin,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya penularan berlaku, kos rawatan adalah lebih tinggi daripada kos pemberian imunisasi.
Justeru beliau berkata, pihaknya sentiasa meneliti setiap peluang yang ada bagi memastikan semua kanak-kanak diberi imunisasi. - Bernama