SHAH ALAM – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa penyatuan UMNO dan Pas terus menghantui Pakatan Harapan (PH) terutama Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng
Jelas Mohamad, kenyataan Guan Eng kepada masyarakat bukan Islam bahawa mereka akan menghadapi kesengsaraan apabila UMNO dan Pas memerintah menunjukkan beliau seorang yang anti akal, tidak rasional dan tidak waras.
"Kepada Guan Eng, jika pemikiran politik kamu yang jumud menjadi sandaran, makanya Malaysia Baru itu adalah Malaysia yang amat prejudis terhadap Islam dan bangsa Melayu... dan bukannya hanya sekadar bencikan UMNO dan Pas sahaja.
"Seluruh rakyat bukan Islam di Malaysia. Bersaksikan pemerintahan selama lebih enam puluh tahun, UMNO/BN dan Pas adalah pergerakan politik yang rasional, waras dan patuh Perlembagaan,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebooknya di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohamad menegaskan bahawa orang Melayu bukan bangsa yang bengis dan menindas sebaliknya berpegang kepada ajaran Islam yang bukan sahaja memberikan hati nurani dan akal yang baik.
Ujar beliau, disebabkan itulah orang Melayu di negara ini boleh menerima jutaan orang Cina dan India serta menjadikan mereka warganegara, Persekutuan Tanah Melayu.
"Mengiktiraf, memberikan hak yang saksama dan menjadikan mereka sebahagian dari tanah air ini.
"Semoga Guan Eng tidak lupa, bahawa itu semua adalah keputusan berani dan benar oleh pemimpin Melayu dalam UMNO pada waktu itu," katanya.
Tambah Mohamad, UMNO dan Pas adalah pergerakan politik yang mempunyai ideologi serta agama.
"Agama Islam kami itu bukan sekadar solat dan puasa. Ia adalah warna, nadi dan cara hidup kami.
"Mana mungkin akan kami zalimi bangsa bukan Islam dan bukan Melayu sedangkan ia ditegah oleh agama kami," katanya.