ANKARA - Turki telah menahan kakak sulung kepada pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi dalam serbuan di barat laut Syria.
Semalam, pegawai Turki memaklumkan Rasmiya Awad, 65, ditangkap bersama suami, menantu perempuan dan lima kanak-kanak dalam treler yang menjadi tempat tinggal mereka di bandar Azaz di wilayah Aleppo.
Iklan
Iklan
"Kesemua mereka kecuali budak telah disoal siasat. Penangkapan mereka membolehkan kita memahami lebih jelas tentang Daesh dan memberkas lebih ramai anggota kumpulan itu," jelasnya.
Sementara itu Pengarah Komunikasi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, penahanan wanita itu adalah bukti kesungguhan Ankara untuk memerangi Daesh.
Insiden penahanan itu berlaku beberapa hari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan al-Baghdadi terbunuh dalam operasi di wilayah Idlib pada akhir bulan lalu. - Agensi