Selangor sasar turunkan kadar pengangguran

Iklan
Mohd Khairuddin

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meletakkan sasaran penurunan kadar pengangguran kepada 2.5 peratus bagi tahun ini.

Exco Generasi Muda dan Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, kadar pengangguran di negeri itu bagi tahun 2017 dan 2018 lalu kekal pada kadar 2.8 peratus.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kadar itu dianggap masih rendah jika dibandingkan dengan bilangan belia di negeri itu yang merangkumi separuh daripada enam juta rakyat secara keseluruhan.

"Kerajaan Selangor akan memberi fokus kepada Job Fair berskala mega bagi penganjuran peringkat negeri serta berskala kecil mengikut daerah-daerah di seluruh Selangor.

Iklan

"Ia melibatkan sebanyak 180 syarikat swasta terpilih dengan mengadakan temuduga terbuka melibatkan 180 majikan dan 20 agensi atau jabatan kerajaan terlibat.

"Daripada jumlah itu lebih 12,000 peluang telah ditawarkan dan 20 majikan turut menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) pada hari tersebut," katanya pada Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 hari ini.

Iklan

Mohd Khairuddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) yang ingin mengetahui kadar pengangguran di negeri ini dan usaha mengurangkan pengangguran itu.

Mengulas lanjut Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Selangor turut menganjurkan program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) dengan pendedahan kemahiran vokasional dan teknikal.

Tambah beliau, program itu yang diberikan secara percuma merangkumi beberapa kategori iaitu belia, suri rumah, pesara dan ibu tunggal.

"Pada tahun 2011 hingga 2018 terdapat 3,248 orang peserta terpilih untuk menyertai RKRS.

"Daripada jumlah itu seramai 2,436 peserta berjaya menjana pendapatan melalui program tersebut," katanya.