MSPO: Kerajaan biaya kos permohonan tukar status tanah pekebun kecil

Iklan
Teresa (tiga dari kiri) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman (empat dari kiri) mewakili Exco Pahang memegang kad kempen Jom MSPO bersama sama PKP negeri ini.

KUANTAN - Berita baik buat Pekebun Kecil Persendirian (PKP) sawit kerana kerajaan akan menanggung kos permohonan penukaran status tanah dalam usaha mempermudahkan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

Menteri Industri Utama, Teresa Kok berkata, subsidi tersebut meliputi bayaran kos permohonan sebanyak RM200 per hektar untuk satu nama.

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi tujuan itu penanam sawit dan PKP diminta segera mendaftar dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Persijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

"Kementerian sedang giat mengumpulkan keseluruhan senarai pekebun sawit kecil yang mempunyai masalah itu secara kolektif bagi membolehkan mereka dibantu secara sekali gus dengan kerjasama kerajaan negeri di seluruh negara.

Iklan

"Sukacita dimaklumkan Kementerian Industri Utama juga telah berbincang dengan Menteri Besar dan beberapa kerajaan negeri mengenai kadar premium dan denda yang dikenakan ke atas PKP yang mahu menukar syarat tanah mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis taklimat Pensijilan MSPO di Kompleks Dagangan Mahkota Indera Mahkota di sini petang tadi.

Iklan

Menurutnya, salah satu syarat pensijilan itu adalah keperluan membuktikan status tanah ialah kelapa sawit

"Namun menerusi sesi dialog dan Majlis Taklimat MSPO yang diadakan di seluruh negara, kita mendapati punca PKP tidak menyertai pensijilan itu adalah kerana masalah menukarkan syarat nyata tanah dengan kerajaan negeri dan memakan kos tinggi.

"Oleh itu saya dan MPOB telah berjumpa dengan kerajaan negeri bagi memudahcarakan perkara ini termasuk berbincang dengan Menteri Besar dan kerajaan negeri mengenai kadar premium dan denda yang dikenakan ke atas PKP yang mahu menukar syarat.

"Banyak negeri yang kita telah runding dan PKP diminta daftar dahulu dengan MPOB dan MPOCC," katanya.

Berucap di hadapan lebih 600 PKP negeri Pahang di dewan itu, Teresa berkata, PKP juga tidak perlu bimbang dengan ura-ura atau persepsi cukai tambahan.

"Berkenaan dengan cukai pula ingin saya tegaskan di sini, pensijilan MSPO tiada kaitan dengan LHDN dan PKP tidak akan dikenakan cukai," katanya.

Teresa berkata, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan industri sawit terutama memperkasakan pembangunan PKP dan pelaksanaan Pensijilan MSPO adalah langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan imej industri sawit negara.

Terdahulu, dalam rangka taklimat di negeri ini, pihaknya telah menemui Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail pagi tadi.

Dalam pertemuan itu, pihaknya meminta kerajaan negeri untuk mempermudahkan urusan permohonan penukaran syarat nyata status tanah PKP di negeri ini.

Teresa berkata, kementeriannya sedang berusaha mempermudahkan urusan pensijilan MSPO lebih 33,000 PKP seluruh negara bagi mencapai 100 peratus penyertaan, sebelum 31 Disember 2019.