'PH terdesak untuk menang di Tanjung Piai'

Iklan
Shamsul Anuar

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) terdesak untuk memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai hingga sanggup lakukan apa sahaja termasuk menghasut pengundi, dakwa Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah.

Menurutnya, ucapan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dalam video yang sedang tular dalam satu perjumpaan tertutup dengan pengundi di Tanjung Piai jelas menghasut serta membuat tuduhan yang tidak berasas dan rasis.

Iklan
Iklan

"Tuduhan beliau negara akan huru-hara jika kuasa diberikan pada Barisan Nasional (BN), kerana BN berkawan dengan Pas adalah tuduhan yang sangat tidak betul serta salah.

"Ini suatu sangkaan jahat daripada seorang Menteri Kerajaan PH,” bidas beliau menerusi kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebooknya hari ini.

Iklan

Jelasnya, BN telah terbukti berjaya mentadbir dengan cekap dan mampu menjaga keamanan sehingga negara maju serta berkembang dengan pesat.

"Malah Pas juga mentadbir Kelantan dan Terengganu. Mana ada huru-hara tercetus hingga sekarang. Dalil ini sangat jelas,” katanya.

Iklan

Justeru tegas beliau, ucapan Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dalam perjumpaan tertutup tersebut jelas tidak tepat, rasis dan bersifat menghasut.

"Oleh itu pihak berkuasa mesti menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan mengikut peraturan yang ada kerana telah mempengaruhi pengundi melalui cara yang salah. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti bertindak tegas menghalang kempen berbentuk rasis sebegini.

"Kepada pimpinan PH, berkempenlah secara sihat dan mengikut peraturan yang betul. Jangan lakukan hasutan begini untuk menang. Ini sangat tidak baik,” katanya yang juga Ahli Parlimen Lenggong.