Bank Negara pertimbang perkenal had transaksi tunai

Iklan
Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) sedang mempertimbang untuk memperkenalkan had transaksi tunai (CTL) bagi melengkapkan langkah integriti kewangan yang sedia ada, kata Gabenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

"Walaupun baharu bagi Malaysia, banyak negara lain seperti Perancis, Itali dan India telah melaksanakannya. Langkah itu akan mengurangkan penyalahgunaan tunai dengan menangani kemudahan menjalankan transaksi tunai bernilai tinggi,” katanya.

Iklan
Iklan

Walaupun kaedah pembayaran elektronik semakin meningkat, penjenayah masih memilih tunai kerana ia diterima di mana-mana sahaja, tanpa nama dan tidak dapat dikesan, katanya pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Menurut Nor Shamsiah, Jawatankuasa Penyelaras Peringkat Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC) akan memberi penerangan kepada orang awam mengenai cadangan itu pada akhir bulan ini.

Iklan

"NCC mahu melaksanakan keputusan yang tepat. Oleh itu, kami berharap anda semua dapat menggalakkan masyarakat untuk memberi maklum balas ke atas cadangan itu,”katanya.

Pada Januari BNM mengurangkan nilai ambang pelaporan transaksi wang tunai (CTR) daripada RM50,000 kepada RM25,000.

Iklan

Sehingga September lebih lima juta laporan CTR diterima, menyumbang kira-kira RM483 bilion transaksi tunai.

"Masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan. Namun kami telah membuat pemerhatian di seluruh industri yang mana jumlah nilai transaksi tunai yang dilaporkan meningkat sedikit, manakala jumlah laporan CTR yang diterima adalah hampir dua kali ganda,” katanya.

Nor Shamsiah berkata, peningkatan yang ketara dalam CTR yang diterima sejak Januari memberikan BNM data penting yang membolehkan pemantauan lebih ketat terhadap transaksi tunai yang luar daripada kebiasaan dan mengenal pasti risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas kepada entiti yang baru dikenal pasti yang belum dikesan sebelum ini.

Kaedah tambahan ini turut membawa kepada kualiti pendedahan yang lebih baik kepada agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan terutamanya berhubung penipuan, pengelakan cukai dan rasuah. - Bernama