BRASILIA - BRAZIL. Presiden Brazil yang baharu dilantik, Jair Bolsonaro berkata beliau sedia membincangkan kemungkinan menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di negara berkenaan.
Bolsonaro yang dilantik awal minggu ini mendakwa, sokongan Rusia terhadap pemerintahan 'diktator' Presiden Nicolas Maduro di negara jiran, Venezuela adalah perkembangan yang membimbangkan.
Bekas kapten tentera berusia 63 tahun itu menegaskan, beliau akan membenarkan penempatan pangkalan tentera AS di negaranya, sekiranya sokongan Moscow terhadap Maduro dilihat semakin ketara.
Menurut pemimpin sayap kanan itu, Brazil berharap untuk menjadi kuasa besar di Amerika Selatan, sekali gus menggariskan perubahan besar dalam dasar luar negaranya.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap dasar Washington yang menentang rejim autoritarian kerajaan sayap kiri di Cuba, Nicaragua dan Venezuela.
Dilihat sebagai peminat Presiden Donald Trump, Bolsonaro tidak membuang masa membina hubungan kukuh denganWashington dan juga sekutu kuatnya, Israel.
Tindakan tersebut menggusarkan pemimpin sayap kiri yang selama 13 tahun, berusaha membina hubungan rapat dengan jirannya di Amerika Selatan dan negara membangun lain.
Dikenali juga sebagai 'Tropical Trump' kerana gemar mengikut jejak langkah presiden AS itu, Bolsonaro mencetuskan kontroversi susulan hasrat memindahkan kedutaan negaranya di Israel ke Baitulmaqdis seperti yang dilakukan Washington pada Mei tahun lalu.
Idea tersebut mendapat tentangan banyak pihak yang menganggap tindakan itu hanya akan menjejaskan hubungan dengan negara Islam. - Press TV