Pasar pagi Pekan Serkat lubuk barangan terpakai

Iklan
Pasar pagi Pekan Serkat terkenal dengan jolokan pasar barangan terpakai.

PONTIAN - Pekan Serkat bukanlah lokasi asing bagi penduduk di daerah ini.

Pekan kecil ini menjadi laluan utama untuk ke Tanjung Piai yang merupakan destinasi pelancongan Tanah Penghujung Benua Asia.

Iklan
Iklan

Suasana pekan yang sunyi mula berubah menjadi riuh rendah seawal pagi dengan suara peniaga pasar pagi Pekan Serkat melelong barangan jualan mereka.

Menariknya, di pasar pagi ini pelbagai barangan terpakai yang masih berkualiti tinggi dijual di sini antaranya pakaian terpakai, aksesori wanita dan lelaki dan banyak lagi.

Iklan

Bukan sahaja barangan terpakai, namun keperluan dapur juga boleh didapati di sini dengan harga yang berpatutan seperti sayur- sayuran, ikan, ayam dan sebagainya.

Pakaian terpakai atau 'bundle' yang dilonggokkan di tepi jalan pastinya mencuri tumpuan sesiapa sahaja yang pertama kali datang ke pasar yang dibuka seawal jam 6.30 pagi itu.

Iklan

Hampir 60 gerai jualan barangan terpakai memenuhi bahu jalan Pekan Serkat, sekaligus mendapat jolokan pasar barangan terpakai di daerah ini.

Sebut sahaja barangan terpakai, sudah pasti terbayang harga jualan yang cukup murah.

Peluang berbelanja dengan harga murah pastinya tidak dilepaskan penduduk lebih-lebih lagi kepada golongan suri rumah di pasar pagi ini.

Penduduk Maina Othman, 48, dia tidak melepaskan peluang membeli belah pada pagi Selasa kerana harga rendah ditawarkan bagi barangan terpakai.

"Bukan sahaja boleh beli sayur, ikan tetapi boleh cuci mata beli beg tangan dan baju terpakai dengan harga yang murah. Kalau baju terpakai boleh beli harga seringgit dua.

"Peniaga di sini juga terima tawar menawar, membuatkan pembeli mudah mendapatkan barangan yang dijual dengan harga yang lebih murah,” katanya.

Peniaga ikan, Buang Mohammad, 52 berkata, dia sudah 10 tahun berniaga di Pasar Pagi Serkat dengan kebanyakan pembeli terdiri daripada penduduk tempatan.

"Pasar Pagi Serkat sudah lama wujud, memang meriah dengan peniaga yang menjual pelbagai barangan basah, makanan dan pakaian terpakai.

"Orang tempatan memang suka ke pasar pagi Pekan Serkat ini untuk dapatkan pelbagai barangan," katanya.