ALOR GAJAH - Seorang pemandu van pelancong maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di Kilometer 198 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa, Mohd Adam Jalil, 52, yang memandu bersendirian dipercayai dari arah utara menghala ke selatan.
Iklan
Iklan
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, setibanya di tempat kejadian van yang dipandu mangsa hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pokok di tepi jalan.
"Akibat kemalangan itu mangsa yang beralamat di Taman Kobena Johor Bahru mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat sebelum dituntut oleh waris keluarga mangsa," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian keadaan cuaca baik dan kenderaan terbabit telah ditunda ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.