HONG KONG - Seorang lelaki bersenjatakan pisau menyerang Ahli Parlimen pro-China yang menyatakan pendirian tegas mengutuk protes antikerajaan di Hong Kong.
Polis hari ini memaklumkan, Junius Ho bersama pembantu dan penyerang terbabit telah dikejarkan ke hospital tanpa memberikan butiran tentang kecederaan dialami mereka.
Iklan
Iklan
Difahamkan, motif serangan itu masih tidak diketahui, namun Junius mula dikenali dalam kalangan peserta protes pada Julai lalu selepas rakaman video memaparkan beliau ketawa dan bersalaman dengan geng yang menyerang kumpulan demonstrasi tersebut menjadi tular.
Serangan ke atas Junius itu berlaku selepas hab kewangan Asia itu dilanda siri protes selama lebih bulan.
Penunjuk perasaan turut merancang untuk mengadakan demonstrasi baharu di beberapa universiti di bandar raya tersebut pada hari ini.
Semalam, parti pemerintah China, Parti Komunis menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak-ansur dengan sebarang tingkah laku 'kumpulan pemisah' di Hong Kong selepas beberapa penunjuk perasaan menuntut kemerdekaan wilayah yang pernah diduduki British itu.
Sehingga kini, peserta protes menuntut Beijing menamatkan campur tangan dalam hal ehwal di bandar raya terbabit walaupun China menafikan dakwaan tersebut dan menyalahkan negara asing kerana mencetuskan konflik tersebut. - Agensi