KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan jaminan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Gadek, Melaka, G Saminathan yang ditahan di bawah akta kesalahan keselamatan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias berkata, permohonan jaminan itu melibatkan isu Perlembagaan yang perlu dirujuk dan diputuskan di Mahkamah Persekutuan.
Saminathan yang menghadapi pertuduhan menyokong dan memiliki item berkaitan kumpulan itu ditahan reman di Penjara Sungai Buloh mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Mohd Izhanudin berkata, Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan dan memutuskan isu jaminan terhadap individu yang ditahan di bawah SOSMA walaupun Mahkamah Sesyen telah memerintahkan supaya permohonan itu didengar di mahkamah itu.
"Walaupun ada perintah daripada Hakim Mahkamah Sesyen untuk merujuk isu Perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi, pihak pendakwaan berpendapat bahawa persoalan berhubung isu Perlembagaan perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan," katanya ketika sebutan permohonan Saminathan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.
Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Saminathan berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan berkenaan dan memohon supaya mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin.
Beliau berkata, Hakim Mahkamah Sesyen pada 1 November lepas telah memutuskan bahawa terdapat merit dalam permohonan pembelaan mengikut Seksyen 13(2) SOSMA bagi merujuk isu Perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Mohd Nazlan menetapkan 13 November untuk mendengar hujahan lanjut daripada kedua-dua pihak dan mengarahkan mereka memfailkan hujahan masing-masing serta persoalan yang ingin dibangkitkan dalam permohonan itu sebelum atau pada 12 November ini.
Semalam, hanya permohonan Saminathan disebut di Mahkamah Tinggi.
Pada 1 November lepas, Mahkamah Sesyen telah membenarkan permohonan Saminathan dan 11 lelaki untuk merujuk isu Perlembagaan berhubung jaminan ke Mahkamah Tinggi.
Mereka ialah Saminathan, ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60; pemandu teksi V Balamurugan, 37; penghantar surat, S Teeran, 38; peniaga besi buruk, A Kalaimughilan, 28; ketua pegawai perbadanan, Chandru, 38; juruteknik S Arivainthan, 27; penjaga stor, S Thanagaraj, 26; pengawal keselamatan, M Pumugan, 29; seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan@Rengasamy, 52; ahli DAP, V Suresh Kumar, 43, dan peniaga, B Subramaniam, 57.
Kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini dan di beberapa negeri pada 29 dan 31 Oktober lepas atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.
Prosiding hari ini turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang juga Ahli Parlimen Puchong, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. - Bernama