Isu papan tanda: Kerajaan negeri junjung titah sultan

Iklan
MBSA memaklumkan pihak melaksanakan kerja menanggalkan papan tanda mempunyai tulisan Cina, hari ini.
SHAH ALAM - Kerajaan negeri akur dan menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan semua papan tanda jalan hanya menggunakan bahasa Melayu.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kerajaan akan membincangkan perkara berkenaan menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKNN) terlebih dahulu secara menyeluruh sebelum tindakan sewajarnya diputuskan.

"Sudah pasti isu (papan tanda jalan) yang timbul minggu ini akan dibincangkan. Kita menjunjung kasih ke atas titah baginda, kita tunggu kertas (mesyuarat) sebab arahan itu tidak diberikan melalui MMKN, jadi kita tunggu kertas secara menyeluruh tentang papan tanda.

"Tapi pertamanya, kerajaan negeri komited untuk menjunjung kasih titah baginda dan yang keduanya kita juga komited untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir merasmikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pusat Kaunseling Selangor serta Majlis Pentauliahan Akrab, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menurutnya, beliau akan menyemak bagaimana isu papan tanda jalan berkenaan boleh berlaku terlebih dahulu namun tidak menolak ia berdasarkan keputusan kerajaan pada tahun lalu.

"(Itu) saya kena semak, sebab ini keputusan pada 2017 dan tidak ada dibawa ke MMKN,” katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: MBSA turunkan papan tanda tulisan Cina ]