KAJANG - Penubuhan Majlis Tahfiz Negara dijangka dilancarkan selewat- lewatnya awal tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ketika ini terdapat beberapa isu berkaitan teknikal sedang dalam proses penyelesaian dan penelitian.
Iklan
Iklan
"Sebagai sebuah majlis ia perlu ada pengerusi, anggota (yang akan membarisi jawatankuasa majlis) dan kemudian kena ada undang-undang. Selain itu, apabila melibatkan hal agama dan isu Islam, kita juga perlu maklum kepada Majlis Raja-raja.
"Tetapi ini adalah proses biasa dan mengambil sedikit masa untuk menjayakan Majlis Tahfiz Negara. Insya-ALLAH tahun depan ia akan menjadi realiti," katanya pada sidang media Konvensyen Huffaz Profesional Peringkat Kebangsaan 2019 di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) di sini hari ini.
Menurutnya, kerajaan komited merealisasikan penubuhan Majlis Tahfiz Negara selaras dengan usaha menambah baik institusi tahfiz di negara ini.
"Ia juga selaras dengan usaha untuk mengarusperdanakan pendidikan tahfiz yang berperanan mewujud dan menyelaras mekanisme pengiktirafan, memberi pengiktirafan kepada huffaz di samping memantau pematuhan standard pengiktirafan diberikan.
Sementara itu, dalam majlis sama, Mujahid turut menyempurnakan pelancaran Buku Kaedah Hafazan Al-Quran Model Malaysia yang diterbitkan dengan bantuan pakar al-Quran yang terdiri daripada pensyarah universiti serta masyaikh dari institusi tahfiz dalam negara.