Kelantan hargai Pusat iktiraf dua lapangan pengeluaran minyak, gas

Iklan
Mohd Amar ketika menjawab soalan wartawan selepas mesyuarat Exco hari ini.

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan berbesar hati dan menghargai tindakan kerajaan Persekutuan yang mengiktiraf dua lapangan pengeluaran minyak dan gas di perairan negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pengumuman Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen baru-baru ini adalah satu pengakuan dan pengiktirafan hak kepada Kelantan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung status lapangan itu sebelum ini.

"Sebelum ini, semua dikatakan berada di luar tiga batu nautika dan ini kali pertama Kelantan menerima pengiktirafan telaga minyak berada dalam perairan negeri.

Iklan

"Kami ucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pengakuan dan pengiktirafan besar ini kepada Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di sini hari ini.

Beliau berkata, berhubung persempadanan perairan bagi 10 lagi lapangan pengeluaran, ia memakan masa kerana perlu mendapatkan kerjasama baik dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Iklan

"Jupem yang memiliki semua maklumat dan dokumen, kita kerajaan negeri sedia buat kerja itu sebab sudah kenal pasti juruukur dan berharap dapat diselesaikan dengan segera.

"Kalau lambat, lebih baik bahagia dua antara Kelantan dan Terengganu separuh-separuh seperti Kawasan pembangunan bersama Malaysia-Thailand,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Mohamed Azmin berkata, daripada 12 telaga minyak dan gas di kawasan perairan Pantai Timur, hanya dua telaga iaitu lapangan Bumi South dan Suriya Selatan jelas berada di dalam lingkungan tiga batu nautika dari pesisir pantai Kelantan.

Sebanyak 10 lapangan lain yang mengeluarkan hasil secara berperingkat mulai 2013 berada di luar kawasan tiga batu nautika dari kesemua negeri terlibat.