Pas akan minta penjelasan Berjasa letak calon

Iklan
Mohd Amar

KOTA BHARU - Pas berkemungkinan akan meminta penjelasan Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) berhubung tindakan parti itu meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan akan mengkaji hubungan dengan parti itu mungkin berkaitan dengan tindakan Berjasa itu sahaja.

Iklan
Iklan

"Pertama, kita akan minta penjelasan kenapa dia (Berjasa) meletakkan calon sedangkan kita telah bersetuju supaya pencalonan diberikan kepada Barisan Nasional (BN). Mungkin dalam konteks itulah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini semalam.

Mohd Amar diminta mengulas mengenai kenyataan Abdul Hadi yang dilaporkan berkata akan mengkaji kerjasama dengan Berjasa dari semasa ke semasa susulan tindakan parti itu mempertaruhkan Presidennya, Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz pada PRK Parlimen Tanjung Piai.

Iklan

Ditanya sama ada Pas terasa hati dengan tindakan Berjasa pada PRK tersebut, Mohd Amar berkata, tindakan parti itu cuma bertembung dengan semangat Muafakat Nasional yang ditandatangani antara Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Kita nak terasa hati sangat pun bukan kita yang bertanding, cuma macam kita sebut dari segi semangat, bila Berjasa bertanding, ia sudah bertembung dengan semangat Muafakat Nasional tapi perkara ini boleh bincang di peringkat kita di Gagasan Sejahtera, itu tiada masalah," katanya. - Bernama

Iklan