Kes Zulfarhan: Demo seterika wap dalam mahkamah

Iklan
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

KUALA LUMPUR - Tumpuan perbicaraan kes bunuh Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Tinggi di sini semalam beralih pada demonstrasi penggunaan seterika wap.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim semasa prosiding membela diri di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah menunjukkan penggunaan bahan bukti itu pada tapak tangan dan lengan seorang anggota polis mahkamah.

Iklan
Iklan

Julia menyatakan terdapat tiga tahap kepanasan iaitu minima, pertengahan dan maksima.

Ia turut menarik perhatian Azman dan peguam bela, Amer Hamzah Arshad apabila turut mencuba tahap kepanasan wap berkenaan menggunakan tapak tangan pada jarak sejengkal.

Iklan

Semasa demonstrasi itu, Julia bertanya pada tertuduh kedua, Muhammad Azamuddin Mad Sofi mengenai wap yang keluar selepas seterika itu dihidupkan.

Semasa pemeriksaan balas, Julia mencadangkan wap dari alat menggosok pakaian itu terkena pada kulit, ia akan menyebabkan rasa panas dan sakit, tertuduh kedua itu berkata"bersetuju”.

Iklan

Julia: Wap yang keluar dari seterika ialah wap panas.

Muhammad Azamuddin: Setuju.

Bagaimanapun tertuduh menyatakan tidak mengetahui sama ada suhu seterika itu akan meningkat sekiranya dibiarkan terpasang dalam jangka masa panjang.

Muhammad Azamuddin turut mengiyakan, Zulfarhan hanya memakai boxer ketika sesi soal jawab berlaku di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM.

Dalam pada itu Amer Hamzah memohon penjelasan mengenai maksud perbuatan tertuduh kedua tidak bersetuju dengan cadangan pendakwa raya mengenakan seterika lebih seperti mendera.

Muhammad Azamuddin: Saya tidak setuju ia dikatakan mendera sebab saya cuma buat dua kali dan ia tidak bersentuhan dengan tubuh Zulfarhan. Keadaan fizikal Zulfarhan juga dilihat biasa iaitu boleh berjalan, makan dan belajar.

Pada 31 Julai lalu Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan 18 penuntut UPNM yang terlibat dalam kematian Zulfarhan untuk membela diri.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Azman berkata, selepas membuat penilaian maksimum mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie ke atas kes yang dituduh. Kesemua tertuduh dipanggil membela diri.

Enam daripada tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Kesemua tertuduh yang berusia 23 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017.

Pertuduhan terhadap mereka yang dibuat mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada masa sama keenam-enam mereka bersama 12 lagi turut diarah membela diri atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mangsa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Seramai 12 penuntut lain yang kesemuanya berumur 23 tahun ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, dan Mohamad Syazwan Musa.

Bagaimanapun 'rahmat' bagi Muhammad Akmal Akif Alias, apabila dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mencederakan Zulfarhan Osman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala antara peguam yang mewakili tertuduh-tertuduh ialah Amer Hamzah Arshad, Datuk Ranjit Singh Dillon, AG Kalidas, Datuk Hazizah Kassim, Mohd Fadly Hashim, Zambri Idrus dan Datuk Hazman Ahmad.

ARTIKEL BERKAITAN Tertuduh mengaku tekap kaki, lutut Zulfarhan guna seterika wap