Tiada VAR dalam Liga-M

Iklan
Persatuan Bola Sepak Malaysia

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan tiada teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) yang akan digunakan pakai dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, persatuan itu tidak melihat VAR sebagai penyelesaian terbaik masalah membabitkan pertikaian gol dalam setiap perlawanan.

Iklan
Iklan

Malah, liga di luar negara yang menggunakan VAR juga menghadapi masalah apabila keputusan yang dibuat pengadil melalui teknologi tersebut turut dipertikai.

"Kalau kita tanya pasukan di Liga Perdana Inggeris (EPL), mereka juga mungkin tidak setuju VAR ini diadakan.

Iklan

"Beberapa situasi insiden juga kita lihat sentiasa terjadi membabitkan VAR dan adakah ia penyelesaian terbaik?

"Kami tidak mahu terburu-buru dengan keadaan semasa dan kos, ia bukan waktu yang tepat untuk aplikasikan VAR di liga Malaysia," katanya kepada media selepas Majlis menandatangani perjanjian penajaan bersama Cuckoo di Wisma FAM, sebentar tadi.

Iklan

Penggunaan teknologi VAR kembali hangat diperkatakan sejurus berakhirnya aksi final Piala Malaysia antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu lalu.

Malah, penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal turut mencadangkan penggunaan teknologi itu susulan gol kontroversi penyerang JDT, Safawi Rasid.

Menerusi satu sepakan percuma yang cukup menarik, Safawi meledak gol kedua JDT pada minit ke-35, namun timbul pertikaian apabila bola sepakan Safawi itu dikatakan tidak melepasi garisan gol sepenuhnya.

Begitupun, pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin tetap mengesahkan jaringan tersebut selepas mendapat bantuan daripada penjaga garisan, Zulkarnain Zakaria.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian dan dibangkitkan di Dewan Rakyat dengan banyak gesaan yang mahu VAR diaplikasikan dalam Liga-M.

Mengulas lanjut, kata Stuart, kos untuk menyediakan VAR dalam setiap perlawanan adalah cukup tinggi.

"Malah, ada yang minta gunakan teknologi garisan gol tetapi untuk pengetahuan semua teknologi tersebut lebih mahal daripada VAR.

"Anggaran kos untuk VAR sekitar RM100,000 setiap perlawanan dan ia cukup mahal. Kita memang akan cuba untuk melihat VAR ini tetapi dalam beberapa tahun akan datang apabila teknologi itu telah murah.

"Buat masa sekarang, kita sedang cuba untuk menaik taraf tahap pengadilan agar masalah pertikaian gol dan sebagainya dapat diatasi," katanya.