KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan isu salah guna kuasa, rasuah serta eksploitasi banyak berlaku dalam urusan pengambilan pekerja asing di negara ini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, wujud ejen dan individu tertentu mengambil peluang mengeksploitasi pekerja asing yang ingin masuk ke negara ini.
"Isu (rasuah) melibatkan pekerja asing memang banyak. Ada pekerja asing yang datang sini kononnya ada kerja, tetapi tiada.
"Ada yang datang ke Malaysia kemudian tiada dokumen... mungkin ada orang khianat, contohnya mereka buat visa, lepas itu mereka tamatkan proses pengambilan,” katanya kepada Bernama selepas perbincangan panel Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia (SDG) 2019 di sini hari ini.
Latheefa berkata, kebanyakan pekerja asing ditahan di negara ini kerana melakukan kesalahan imigresen iaitu tiada dokumen perjalanan diri dan lain-lain.
"Ramai pekerja asing yang masuk ke negara ini tidak menggunakan lorong tikus, tetapi mereka ini dibawa oleh ejen,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar proses kemasukan pekerja asing yang dikendalikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dikembalikan kepada Kementerian Sumber Manusia.
"SPRM melihat perlu ada penambahbaikan sistem dalam pengambilan pekerja, kerana Kementerian Sumber Manusia lebih tahu berapa banyak pekerjaan sedia ada untuk pekerja asing,” katanya.
Sidang Kemuncak, yang membawa tema Percepatan Kemajuan pada SDGs: Keseluruhan Pendekatan Negara, akan menyumbangkan idea dan strategi untuk menggerakkan Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan ke hadapan dan memperkasakan perkongsian melalui pendekatan seluruh negara dalam mencapai SDG.- Bernama