PETALING JAYA - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memuji bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Lin See-Yan atas sumbangannya ketika masa-masa yang mencabar dan tidak pasti dan memuatkannya dalam buku terbaharunya ‘Trying Times Amid Tumult and Trauma’ agar ianya dapat difahami.
Melancarkan buku itu di sini hari ini, baginda bertitah, pemikiran ahli ekonomi berpendidikan Harvard itu mencetuskan analisis pelbagai tentang cabaran yang dihadapi oleh dunia dan disertai dengan nasihat bijaknya mengenai cara menanganinya.
"Buku ini mengandungi petunjuk penting mengenai beberapa isu yang lebih luas, seperti implikasi kemelesetan global dan persaingan geopolitik dan teknologi yang semakin giat, dan masa depan mata wang digital," titah baginda.
Sultan Nazrin menyatakan bahawa buku itu juga memuatkan nasihat berguna kepada Malaysia.
"Ini termasuk berhubung dengan keperluan untuk mengukuhkan sistem pendidikan dan meningkatkan produktiviti - sesuatu yang telah lama ditekankan oleh Tan Sri Lin," titah Sultan Perak.
Baginda bertitah, preskripsi Lin dalam bidang ini berhubung rapat dengan teras 'Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ untuk Malaysia.
"Ini juga menekankan tentang pentingnya membangunkan ekonomi pengetahuan melalui peningkatan produktiviti pekerja dan melengkapkan anak muda kita dengan kemahiran abad ke-21," titah baginda.
Merujuk tajuk buku itu, Sultan Nazrin bertitah,"Masa-masa yang kita hadapi tentunya sukar dan sangat mengejutkan untuk ramai orang.
"Bencana berkaitan iklim berlaku dengan lebih kerap; ketidaksamaan antara pendapatan dan kekayaan semakin ketara sehingga menjejaskan kejayaan dalam memerangi kemiskinan dalam beberapa dekad,”
Baginda menyatakan bahawa peperangan lama dan baharu yang meletus di Timur Tengah dan di tempat lain menambah penderitaan manusia.
Pada ketika yang mencabar, kita memerlukan lebih banyak pengetahuan daripada kebijaksanaan dan panduan daripada orang seperti Tan Sri Lin," titah baginda.
Sultan Nazrin juga menegaskan bahawa pemusatan ke arah perdagangan yang semakin rapat dan hubungan lain di antara negara tidak lagi boleh dipandang ringan.
Ini titah baginda, semakin jelas terutamanya disebabkan oleh perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS), dan perpindahan AS dari multilateralisme.
"Seperti sorotan Tan Sri Lin, suasana dinamik ini mencerminkan persaingan yang lebih mendalam antara dua kuasa dunia, yang kini merangkumi dominasi teknologi serta politik dan ekonomi,” titah Sultan Nazrin. - Bernama