KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan bahawa bekas Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau lebih dikenali Tian Chua tidak pernah hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.
Hakim, Datuk Seri Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas membenarkan saman pemula difailkan Tian Chua selaku pemohon terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku defendan tunggal dalam saman itu.
Mariana dalam penghakimannya berkata, mahkamah bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur dan Shah Alam yang memutuskan bahawa kelayakan dan hak pemohon (Tian Chua) untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman denda RM2,000 yang dikenakan terhadapnya.
Menurut Mariana, seseorang ahli parlimen hanya akan hilang hak dan kelayakan untuk bertanding sekiranya didenda RM2,001 dan ke atas.
Hakim Mariana membuat keputusan itu di dalam kamarnya hari ini dan perkara tersebut disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Azizan Md Arshad bertindak bagi pihak SPR.
Sementara itu, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Tian Chua memberitahu pemberita bahawa mahkamah membenarkan saman anak guamnya selepas mendapati keputusan SPR menolak pencalonan Tian Chua tidak sah dari segi undang-undang berdasarkan keputusan yang telah dibuat oleh dua Mahkamah Tinggi sebelum ini.
"Mahkamah juga memutuskan adalah tidak adil dan tidak munasabah untuk SPR menolak pencalonan Tian Chua," katanya.
Tian Chua pula berkata, kelayakannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sepatutnya tidak dinafikan oleh SPR dan dengan keputusan hari ini, beliau berjaya mengekalkan statusnya sebagai seorang yang bebas untuk bertanding.
Pada 26 April lepas, Tian Chua memfailkan saman pemula bagi memohon deklarasi bahawa beliau adalah seorang yang layak untuk bertanding dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga memohon deklarasi bahawa adalah tidak adil untuk menafikan kelayakan dan haknya untuk bertanding dalam pilihan raya.
Berdasarkan afidavit sokongan, Tian Chua berkata, keputusan kesnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Shah Alam yang menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap dua tuduhan dihadapinya menjelaskan bahawa kelayakan dan haknya untuk bertanding tidak terjejas oleh hukuman tersebut.
Tian Chua berkata, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia juga membuat pengumuman bahawa kedudukannya sebagai ahli parlimen terus kekal dan tidak mendapat sebarang bantahan berhubung perkara itu.
Tian Chua mendakwa, pernah menjadi calon, bertanding dan menang serta menjadi ahli parlimen pada PRU13 tanpa sebarang bantahan tetapi pegawai pilihan raya gagal mengambil kira semua fakta dan menyebabkan pencalonannya ditolak ketika PRU14.
Sebelum ini, dua Mahkamah Tinggi itu, menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadapnya, masing masing atas kesalahan menghina pegawai polis dan mengganggu penjawat awam. - Bernama