MANJUNG - Sebuah premis makanan diarah tutup selama 14 hari selepas menghidangkan mi segera berulat kepada pelanggannya hari ini.
Video berdurasi 58 saat itu memaparkan mi segera ayam goreng yang dipesan pelanggan mula tular di media sosial.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, mengambil maklum tularan video tersebut, pemeriksaan bersama Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah dilakukan.
"Tiada aduan rasmi diterima tetapi ia tular dalam media sosial dan pihak kami sedang menyiasat perkara ini.
"Pemeriksaan bersama Pejabat Kesihatan Manjung dan MPM dilakukan dan kedai diarah ditutup. Pemilik telah diberi salinan butiran yang perlu dilakukan mengenai tahap kebersihan kedai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu pelanggan, Wan Mohd Amirul Wan Mohd Azam, 24, mahu videonya itu menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya memilih premis makanan yang bersih.
"Dalam jam 5 pagi itu, rakan pesan menu berkenaan dan dapati ayam dalam mi segera goreng yang dihidang itu berulat dipercayai sudah lama dimasak.
"Mujur kawan saya belum jamah lagi. Kami memaklumkan kepada pekerja terbabit dan mereka tidak mengenakan bayaran,” katanya.
Menurutnya, mereka kesal kerana premis terbabit tidak menitikberatkan aspek kebersihan hingga mengitar semula ayam goreng untuk hidangan panas lain.
"Tindakan (merakam video) saya itu bukan untuk memalukan tetapi dijadikan iktibar. Banyak berita mengenai kedai kotor dipaparkan tapi pengusaha seolah-olah tidak ambil pengajaran.
"Perkara seperti ini boleh dielakkan sekiranya aspek kebersihan diambil berat,” katanya.