'Dah sebulan mak hilang'

Iklan
Mat Amin (kiri) bersama Mohtar menunjukkan salinan sebaran maklumat kehilangan Fatimah.

BAGAN SERAI -"Dulu saya selalu ikuti kisah Acap, tak sangka kini menghadapi perkara hampir sama. Dah sebulan mak hilang tanpa sebarang petunjuk," kata Mat Amin Ahmad, 56, berhubung kehilangan ibu mentuanya sejak 5 Oktober lalu.

Kehilangan Fatimah Mat, 72, di Kampung Jaya, Batu 10, Semanggol itu menjadi tanda tanya apabila operasi mencari dan menyelamat dijalankan tidak menemui sebarang petunjuk.

Iklan
Iklan

Warga emas yang mempunyai masalah pelupa dan uzur terbabit disedari hilang ahli keluarga kira-kira jam 12.30 tengah hari ketika keluar mencari pucuk paku di kawasan hutan berhampiran.

Mat Amin berkata, dalam tempoh genap satu bulan kehilangan ada pihak menyatakan kejadian itu menyamai kes Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali Acap yang sudah tujuh bulan hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail 2019 di Gopeng pada 23 Mac lalu.

Iklan

"Kalau ikut firasat macam-macam ada antaranya menyatakan kemungkinan mak dilindungi makhluk halus sebagai manusia kita tak boleh menidakkan kewujudan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini.

"Apa yang boleh kami lakukan terus berdoa dan berikhtiar agar mak dapat ditemukan segera," katanya ketika ditemui di kediamannya hari ini.

Iklan

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan pelbagai pihak termasuk bomba, polis, Agensi Pertahanan Awam Malaysia dan Pertubuhan Rela dihentikan 11 Oktober lalu.

Bagaimanapun Mat Amin berkata, penduduk kampung bersama pasukan skim rondaan sukarela di bawah Kawasan Rukun Tetangga daerah Larut Matang Selama masih membantu melancarkan operasi mencari di kawasan hutan berkenaan.

Katanya, ahli keluarga juga meneruskan ikhtiar dengan membuat sebaran gambar media sosial dan di kawasan-kawasan tumpuan seperti pasar raya, stesen bas dan bank.

"Pernah kami terima panggilan mengatakan ternampak seseorang seperti mak di Teluk Intan, tetapi sebenarnya bukan.

"Selagi terdaya kami akan cari ibu biar apa cara sekali pun dan kami juga telah mendapat nasihat daripada seorang imam untuk mengadakan kenduri khas meminta diberikan petunjuk," katanya.

Dalam pada itu anak ke-10 mangsa, Mohtar Abu Bakar, 34, mengakui sering bermimpi ibunya dengan wajah tersenyum dan gembira.

"Siang malam kami masih terbayang ibu berada di dalam rumah, harap ibu dapat diketemukan kerana kami semua amat rindukannya," katanya.